Salah satu program cetusan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memenangi hati penuntut pusat pengajian tinggi anak Sarawak ialah inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS).

Program ini bermula Januari 2019.

Menurut Penasihat Sarawak Volunteers, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga ADUN Tupong untuk bantuan kali ini pelajar di luar Sarawak masih boleh memohon subsidi tiket kapal terbang ini khususnya mereka yang ingin balik merayakan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Sebanyak 27,639 permohonan daripada penuntut anak Sarawak di IPT Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masih boleh menghantar permohonan mendapatkan subsidi ini.

Pemohon mestilah pelajar penuh masa di IPT yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut beliau, 19,184 permohonan diluluskan dan menerima subsidi iGPS RM300 bagi setiap permohonan.

Manakala 1,038 permohonan masih dalam proses semakan.

iGPS diperkenalkan tahun lepas oleh Kerajaan Sarawak bertujuan membiayai kos tiket kapal terbang pelajar Sarawak pergi-balik bagi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Gawai.

Sarawak Volunteers merupakan urus setia yang membantu memproses permohonan berkenaan sebelum pembayaran balik dilakukan oleh Yayasan Sarawak.

Awal 2019, Kerajaan Sarawak meluluskan subsidi RM968,100 kepada 3,227 pelajar untuk tiket penerbangan balik kampung sempena perayaan yang diraikan mereka.

Bayaran balik berkenaan disalurkan terus ke dalam akaun penerima secara berperingkat.

Antara syarat bagi bantuan berkenaan ialah, pemohon mesti berusia 18 tahun ke atas pada tarikh penerbangan dan belajar sepenuh masa di IPT di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada awal Januari 2019, menurut Abang Johari subsidi RM300 kepada pelajar IPT dari Sarawak diberi dua kali kepada pelajar terbabit melibatkan perayaan Aidilfitri dan Gawai.

Abang Johari menyedari terdapat pelajar daripada keluarga hasil kahwin campur di negeri ini.

“Di Sarawak (ramai yang) kahwin campur. Mungkin ayahnya Dayak dan ibunya Melayu. Kedua-duanya diraikan,” kata beliau.

Menurut Abang Johari, secara tidak langsung subsidi berkenaan dapat membantu pelajar menyambut kedua-dua perayaan bersama-sama ibu dan bapa serta keluarga mereka.