PUSA: Sebuah rumah pusaka di Kampung Dato Godam Pusa yang dihuni Taib Tuan, 17, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Taib yang merupakan anak yatim piatu menghuni rumah berkenaan seorang diri selepas kedua ibu bapanya meninggal beberapa tahun lalu.

Kebakaran berkenaan menyebabkan mangsa kini tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua barangan di rumah berkenaan musnah dijilat api.

Pihak MERS 999 RC Melaka menerima aduan tentang kejadian pada jam 5. 48 pagi seterusnya memaklumkan tentang kejadian kebakaran tersebut kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan bantuan BBP Saratok bergerak ke lokasi kejadian untuk tindakan bantuan.

Bagaimanapun, menurut laporan daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sebaik pihak bomba tiba di lokasi kejadian api telah memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah jenis tidak kekal yang berukuran 40 kaki panjang dan 30 kaki lebar itu.

Dalam insiden kebakaran itu seorang jiran mangsa melecur tangan, pipi serta telinga kiri ketika cuba menyelamatkan menyelamatkan sebuah kenderaan jenis proton saga miliknya.

Mangsa yang cedera kemudiannya diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan kemudiannya terus dihantar ke Klinik Pusa untuk tindakan rawatan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba Betong PPgB Vincent Yabi memberitahu operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 08:16 pagi.

“Keanggotaan dan aset terlibat adalah BBP Betong dengan 1 FRT+ 1 EMRS dengan 7 anggota dan diketuai oleh PBK II Tony Bin Morni.

“Turut terlibat operasi adalah BBP Saratok dengan 1 Scania + 1 EMRS dengan 9 anggota diketuai PBK II Zainuddin Bin Hj. Manan. Turut serta pihak dua anggota PDRM dan dua petugas Sarawak Energy, ” ujarnya.

Mangsa (Taib) buat sementara waktu kini menumpang di rumah jiran sambil usaha dilakukan oleh pihak ketua kampung di situ memohon bantuan dan derma daripada orang ramai untuk meringankan bebanan yang ditanggung Taib.