KUCHING: Kenyalang Gold Card (KGC) yang merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata KGC akan dilancarkan sempena Simposium Keusahawanan Wanita anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

Pelancarannya akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 7 Mac depan.

“Pemohon yang layak boleh mula mengemukakan permohonan mendapatkan inisiatif KGC ini walaupun perasmian hanya pada 7 Mac depan,” katanya.

“Borang boleh didapati di Jabatan Kebajikan dan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil selain memuat turun borang daripada lawan sesawang JMKNS.

“Borang siap diisi harus dipulangkan ke mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan dan Masyarakat di seluruh negeri dan kita menetapkan 30 hari untuk permohonan diluluskan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Program Pemberian Inisiatif KGC di Pustaka Negeri Sarawak pada Selasa.

Link Borang https://kwkpk.sarawak.gov.my/upload/file_folder/New%20borang%20KGC%20&%20BIK%20(KWKPK)(1).pdf

Menurut Fatimah lagi, pelbagai manfaat akan dinikmati pemegang KGC antaranya diskaun dan rebat untuk beberapa perkhidmatan serta barang keperluan warga emas di Sarawak.

Lebih penting pemegang KGC yang layak akan mendapat Bantuan Ihsan Kematikan (BIK) berjumlah RM3,000 dan ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 warga emas setahun.

Beliau menjelaskan BIK hanya akan diberikan kepada pemegang BIK yang tidak mendapat perlindungan insurans, Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya..