Saturday, June 25, 2022

Penganalisis politik: Ketua Menteri untuk semua kaum

Secara Rawak

Tanggal 13 Januari 2017, Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-6. Kini genap tiga tahun Abang Johari memegang tampuk pemerintahan Bumi Kenyalang. Beliau meneruskan dasar serta merencana dasar pembangunan yang baharu demi kelestarian pembangunan di negeri ini.

Abang Johari yang lahir pada 4 Ogos 1950 di Limbang merupakan pemimpin berkarisma serta mempunyai wawasan jelas dalam membawa hala tuju Sarawak ke arah mencapai status negeri maju 2030.

Ini terbukti dengan pencapaian tiga tahun beliau mengemudi Sarawak. Beliau merupakan Ketua Menteri untuk semua kelompok etnik di Sarawak mempunyai komitmen tinggi dalam menyantuni semua rakyat Sarawak.

Sebagai Ketua Menteri serta pemimpin berjiwa rakyat, beliau berjaya merencana serta melaksanakan dasar yang memberi impak kepada semua rakyat Sarawak sama ada di bandar atau di luar bandar.

Pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan atas inisiatif perancangan yang di kemukakan oleh beliau bersama-sama kumpulan beliau yang mengemudi jentera kepimpinan Sarawak. Pembangunan sosial, ekonomi, modal insan, budaya, agama dan sebagainya diberi keutamaan oleh beliau.

Menyelesaikan Polemik Politik

Malah, sebagai pemimpin berpengalaman serta telah lama berkecimpung dalam arena politik, Abang Johari berjaya menyelesaikan polemik politik setelah kekalahan BN pada PRU-14 lepas.

Atas kepakaran dan penasihat beliau, parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) membentuk gabungan parti politik tempatan yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meneruskan legasi kepimpinan di Bumi Kenyalang.

Keputusan tepat yang dilakukan oleh beliau ini memberi sinar harapan kepada rakyat Sarawak untuk menyaksikan suara rakyat Sarawak lebih bernilai apabila berkumandang di Putrajaya. Tiada tekanan apabila GPS bersuara menuntut hak Sarawak.

Selain itu, dengan pengalaman yang luas dalam politik juga, Abang Johari secara tidak langsung menyelesaikan polemik ‘mesra BN’ atau ‘mesra kerajaan’ dalam kalangan parti politik yang selama ini menumpang bersama parti yang membentuk kerajaan.

Kejayaan beliau ini sudah pasti menamatkan istilah calon langsung BN dan kini calon langsung GPS pada PRN-12 nanti. Isu ini sekian lama berlegar dalam politik Sarawak. Namun, atas pengalaman dan kebijaksanaan beliau, isu ini berjaya diatasi dengan baik.

Dalam tempoh tiga tahun di bawah pimpinan Abang Johari, naluri serta jiwa beliau adalah sinonim dengan rakyat apabila beberapa projek pembangunan yang diberhentikan oleh Kerajaan Persekutuan telah diteruskan oleh Kerajaan Negeri.

Prihatin Pada Rakyat

Inisiatif murni Ketua Menteri ini yang meneruskan beberapa projek pembangunan dengan dibiayai Kerajaan Negeri melegakan rakyat Sarawak yang masih dahagakan pembangunan. Contoh pembinaan beberapa jambatan yang menjadi nadi perhubungan di kawasan luar bandar diteruskan kerajaan Sarawak atas keprihatinan beliau terhadap rakyat di Sarawak.

Pembinaan jalan pesisir pantai diteruskan dengan sumber kewangan daripada Kerajaan Negeri. Ini memberi sinar harapan kepada rakyat di pedalaman yang amat memerlukan kemudahan jalan untuk menjalankan aktiviti harian.

Malah, yang amat menyentuh benak sanubari pemikiran rakyat Sarawak apabila Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Abang Johari berbesar hati mendahulukan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 billion untuk memperbaiki sekolah daif di Sarawak.

Peruntukan ini diselaraskan sebagai membayar hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan. Harapan rakyat Sarawak agar RM1 bilion itu dikhaskan oleh Kerajaan Persekutuan hanya untuk membaiki sekolah daif di Sarawak. Jelas di sini pendidikan merupakan salah satu teras utama dalam pentadbiran Abang Johari.

Pendidikan sekolah Cina di Sarawak juga turut diberi keutamaan dalam pentadbiran Abang Johari. Peruntukan terus diberikan kepada sekolah Cina di Sarawak bagi meneruskan amalan legasi yang terdahulu. Ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri memastikan setiap kaum terus dibela.

Menjinakkan Isu Perkauman

Isu perkauman tidak seharusnya berlaku di Sarawak. Terbaharu, Abang Johari menegaskan isu tulisan Jawi tidak mendapat tempat di Sarawak.

Ini menunjukkan beliau amat menitikberatkan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak dan ia tidak seharusnya dirosakkan dengan sentimen perkauman. Perkara ini penting bagi memastikan kestabilan politik di Sarawak terus terpelihara.

Segala dasar serta perancangan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri terbukti menyerlahkan kepemimpinan Abang Johari.

Sumbangan tiga tahun beliau dalam mengetuai Kerajaan Sarawak jelas menunjukkan kepimpinan bermutu ditunjukkan beliau yang dapat memberi keyakinan kepada rakyat.

Beliau dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai wawasan yang jauh terutama dengan pengenalan dasar ekonomi digital yang diperkenalkan dalam pentadbiran beliau.

Sudah pasti beliau dapat membawa kemajuan dalam segala aspek kepada rakyat Sarawak pada masa hadapan. Semoga iltizam politik yang tinggi serta usaha yang bermutu terus ditunjukkan oleh beliau dalam mengemudi Bumi Kenyalang bertuah ini.

– Penulis merupakan pensyarah bidang Sains Politik di Unimas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru