Kerajaan Sarawak sedia menanggung penuh kos pemasangan bekalan elektrik RM5,000 ke rumah panjang luar bandar dan kampung.

Bagi kos RM10,000, pengguna mendapat potongan 70 peratus, dan 30 peratus lagi ditanggung sendiri oleh pemilik kediaman.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, pada pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 di DUN Sarawak 4 November lepas.

Pengumuman baik ini mendapat respons positif rakyat khususnya mereka yang layak mendapat bantuan ini.

Sumai Anak Balie, 36, dari Rumah Duah Nanga Baoh Batang Oya, Dalat, mengalu-alukan hasrat Kerajaan Negeri menyediakan skim bantuan sambungan elektrik RM5,000 ke rumah, rumah panjang dan kampung.

Tujuan sebegini jelas membantu masyarakat yang memerlukan lebih-lebih lagi penduduk yang tinggal di luar bandar.

Pengerusi Persatuan Klan Cheng Mukah Datuk Sri Paduka Mary Ting pula berkata, bantuan sebegini menunjukkan kerajaan prihatin kepada golongan yang masih miskin dan tinggal di luar bandar.

Kertika ditemui wartawan, Mary berharap ketua masyarakat di kawasan berkaitan, agar menyalurkan permohonan golongan yang memerlukan ini kepada pihak atasan seperti Pejabat Daerah atau wakil rakyat di tempat mereka.

Penghulu Kampung Baoh Ulu, Dalat, Sebastian Anak Sintan pula memberitahu bahawa lebih 70 peratus rumah di kawasannya sudah mendapat bekalan elektrik.

“Sangat sesuai skim diperkenalkan kerajaan untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Kami di Baoh Ulu, Dalat menanti dengan kesabaran bekalan air bersih ke setiap rumah di kawasan kami.

Ketua Masyarakat Cina Bandar Mukah Yeo Tiong Ing pula ketika ditemui wartawan berkata, beliau menerima baik cadangan Kerajaan Sarawak memperuntukkan pelbagai bantuan kepada rakyat di Sarawak.

“Kita mesti fokus kepada golongan yang sangat memerlukan,” Ujar Tiong.

Tebubum Domminic Dum pula seorang pesara dari Kampung Tellian Daya setuju dengan keperluan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.

“Saya sendiri memerlukan bantuan sedemikian. Sekiranya Kerajaan Negeri merealisasikan semua janji mereka, nescaya kepercayaan sedia ada masyarakat akan bertambah lagi.

Sukup Ukin, 78, warga Kampung Tellian Ulu menyatakan rasa gembira selepas mendengar khabar baik Kerajaan Negeri memberi bantuan sedemikian yang menguntungkan penduduk.

Menurutnya ini sekali gus membantu meningkatkan kepercayaan rakyat kepada pemimpin kerajaan negeri.