Sebanyak 107 buah sekolah daif diperbaiki atau dibina semula menggunakan peruntukan RM1 bilion yang dibayar balik oleh Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan berkata, Kerajaan Sarawak menyerahkan senarai 1,000 nama sekolah daif kepada Jawatankuasa Teknikal Untuk Pelaksanaan Pembangunan Sekolah Daif di Sarawak menerusi Jabatan Pendidikan Negeri.

Lima sekolah sudah ditender pada Ogos tahun lalu, manakala dua lagi pada September tahun lalu.

Sementara itu, 30 buah lagi sekolah daif ditender pada Oktober dan Disember menggunakan dana RM350 juta.

Projek memperbaiki 37 buah sekolah daif di Sarawak menggunakan pembayaran bahagian pertama RM350 juta kepada Kerajaan Persekutuan melibatkan 35 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah.

Bahagian kedua dibayar pada Januari sementara bayaran akhir dijangka dilakukan pada Jun depan. Peruntukan itu merangkumi RM65.265 juta bagi pembinaan serta penempatan semula dua sekolah iaitu SMK Maludam (RM35.765 juta) dan SK Ulu Segan (RM29.5 juta).

RM50 juta lagi diperuntukkan bagi kos menyambung kan semua 128 buah sekolah ke grid elektrik secara berperingkat – peringkat, manakala RM9 juta diperuntukkan bagi membekalkan bekalan air terawat ke 41 sekolah kawasan pedalaman di negeri ini.

RM160.5 juta turut diagihkan untuk memperbaiki 62 buah sekolah di bahagian utara melalui

Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda), RM21 juta lagi diagihkan bagi memperbaiki fasiliti serta kemudahan 66 buah sekolah menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Manakala RM37 juta lagi diagihkan melalui Dana Peruntukan Pembangunan Khas (SDAF) bagi membantu sekolah bantuan kerajaan di negeri ini untuk tujuan sama.

Kerajaan Sarawak Peruntuk RM200 juta Sekolah Daif

Sementara, berucap di Bintulu pada September tahun lepas, Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, “saya mempunyai prinsip sekiranya kita menghulurkan bantuan kepada orang lain terutama dari sudut pendidikan, saya percaya Tuhan akan bantu kita kembali”.

Mengadakan lawatan kerja Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif Di Sarawak bertempat di SK Sungai Tisang Bintulu, beliau memberitahu peruntukan lebih RM200 juta diberkan oleh Kerajaan Sarawak yang tidak termasuk peruntukan Persekutuan untuk sekolah daif di negeri ini.

Dua projek baharu penempatan semula sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan, Bintulu diluluskan dengan kos RM29 juta dan SK Maludam menelan kos RM35 juta.

Kerajaan Sarawak juga meluluskan RM50 juta untuk sambungan bekalan elektrik kepada 128 buah sekolah, selain RM9 juta untuk menghubungkan 41 buah sekolah dengan bekalan air yang telah dirawat.

Selain itu, menerusi inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM21 juta yang melibatkan 63 buah sekolah.

Seterusnya, di bahagian utara melalui Northern Region Development Agency (NRDA), Kerajaan Sarawak meluluskan RM160.5 juta untuk membaik pulih 62 buah sekolah di kawasan tersebut.

RM37 juta dana khas juga diperuntukkan untuk membantu sekolah kebangsaan selain sekolah jenis kebangsaan Cina.