KUCHING: Kenyalang Gold Card (KGC) dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Mac ini.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak – Kanak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, pelancaran rasmi tersebut bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

“Pelancaran rasmi akan kita lakukan pada 7 Mac 2020, dan In Sha Allah akan disempurnakan oleh Ketua Menteri. Namun begitu, permohonan sudah boleh dibuat mulai sekarang kerana 7 Mac nanti hanyalah pelancaran rasminya sahaja.”

“Terdapat juga pelancaran bantuan yang lain pada tarikh tersebut di Simposium Keusahawanan yang dianjurkan oleh Jabatan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak dan pelancaran Kenyalang Gold Card adalah salah satu daripadanya,” katanya ketika menjawab soalan daripada pihak media.

Sehubungan itu, permohonan kad boleh dibuat melalui atas talian ataupun dengan mengisi borang yang boleh didapatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

KGC diwujudkan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas di Sarawak, melalui penyediaan kemudahan dan manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan lain-lain kemudahan daripada pelbagai organisasi dan sektor komersial.

Antara objektif lain KGC adalah untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang dan menyumbang balik kepada masyarakat dan juga untuk memaklumkan kepada semua bahawa Kerajaan Sarawak adalah sebuah kerajaan yang penyayang dan prihatin.