SIBU: Hanya orang Sarawak mampu menerajui kepemimpinan Sarawak, tegas Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing.

Anggota parlimen Bintulu itu berkata, orang luar tidak punya hak menerajui Sarawak.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak di bawah GPS akan berusaha sedaya mampu bagi melindungi dan mempertahankan negeri ini daripada anasir luar.

“Rakyat perlu dapat menilai usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak, terutama GPS dalam mengurus dan mentadbir negeri ini, dan tidak mudah terpedaya oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu program di sebuah rumah panjang di sini.

Katanya, Sarawak perlu dijaga dan dipertahankan.

Dalam Program Sarawakku Sayang di Kota Samarahan pada Isnin, ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan untuk mempertahankan dan melindungi Sarawak sesuai dengan cogan kata program itu ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’.