KUCHING: Anda perlu bersabar sekitar empat bulan sahaja lagi. 

Jambatan Satok berdekatan Kubah Ria di sini dijangka dibuka kepada orang ramai pada Jun depan. 

Pembinaan jambatan ikonik yang bersejarah itu akan diteruskan selepas mengalami sedikit masalah teknikal sebelum ini.

Timbalan ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pembinaan pada blok utama akan diteruskan sambil memberi jaminan jambatan itu adalah selamat.

“Jambatan itu selamat tetapi belum boleh dibuka kepada orang ramai sehingga kami pasti seratus peratus,” katanya.

“Kami akan membawa pakar dari luar negara untuk melihat jambatan gantung itu dengan teliti,’ jelasnya, semalam.

“Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko,” tegasnya.

Sebelum ini apabila ujian log dilakukan terhadap jambatan itu,  blog utama didapati condong.

 JKR Sarawak sebelum ini mengesahkan terdapat sedikit kecondongan pada blok utama Jambatan Gantung Satok.

Menurut Cawangan Komunikasi Korporat JKR dalam satu kenyataan, pada 29 Ogos lepas, satu ujian statik dijalankan dengan memuatkan simulasi 800 orang berada di atas jambatan.

“Tujuan ujian adalah untuk memeriksa pesongan keseluruhan jambatan di bawah bebanan berbeza,” jelasnya.

“Hasil ujian mendapati ada sedikit kecondongan pada blok utama di bahagian Kubah Ria namun tiada pergerakan dicatatkan,” jelas kenyataan itu mengenai jambatan yang merentangi Sungai Sarawak di antara Putrajaya dengan tebingan sebelah Satok itu.

Pada awal September lalu,  Masing kesal dengan kejadian itu dan menyelar  pekerja projek terbabit.

“Persoalannya sekarang ialah: Siapa yang bersalah? Adakah kesilapan dari segi reka bentuk atau kesalahan kontraktor?,” tanya beliau.

Jawapan perlu diberi dan pihak terbabit perlu memikul tanggungjawab.

Menegaskan para jurutera sepatutnya dapat menjangka segala kemungkinan apabila ia direka bentuk, beliau berkata: “Itulah sebabnya kita menugaskan mereka.”

Disebabkan masalah berkenaan, Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mengarahkan laluan ke jambatan berkenaan ditutup kepada orang ramai.

Jambatan itu roboh pada 2004 apabila dipercayai dilanggar tongkang.

Sebenarnya jambatan berkenaan dirancang Rajah Putih Kedua, Charles Brooke pada 1902.

Anaknya, Charles Vyner Brooke yang menjadi Rajah Putih Ketiga, merealisasikan jambatan itu.

Justeru, bagi memastikan impiannya tercapai,  beliau telah mengupah arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe untuk mengetuai projek  itu.

Pembinaan jambatan itu hanya  bermula pada 1923.

Dengan kos AS$52,000, jambatan berketinggian 18 meter dari aras Sungai Sarawak   itu siap sepenuhnya pada 1926 seterusnya menjadi kebanggaan semua.

Selepas 15 tahun lenyap dari pandangan, jambatan bersejarah itu dijangka kembali menjadi mercu tanda bandar raya.

Jambatan pejalan kaki itu yang dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke itu  ditutup kepada laluan orang ramai pada 1992.

Selepas 12 tahun berselang, jambatan ikonik yang bersejarah merentangi Sungai Sarawak itu menyembah bumi pada 7 Oktober 2004.

Setakat ini, proses pembinaan jambatan berharga sekitar RM8 juta siap 94.52 peratus berbanding 86.84 peratus seperti dijadualkan.