KUCHING: Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri- Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yakin bahawa Sarawak akan memenangi kes saman sivil terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Menurutnya, dari segi undang-undang, Sarawak mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk memenangi kes tersebut, walaupun ketika ini pihak Petronas akan membantah saman berkenaan serta mengemukakan pelbagai permohonan.

“Antaranya menyoal bidang kuasa Mahkamah Tinggi Kuching dan mereka mahu kes ini dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Kuching semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas susulan kegagalan pihaknya membayar cukai Jualan Negeri (SST) yang bernilai RM1.3 bilion di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Malah syarikat minyak negara itu juga adalah satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak dan belum membayar cukai berkenaan.

Turut hadir memberikan sokongan , Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Mudanya, Datuk Dr Sebastian Ting, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol, Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni.