KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa ‘Rule of Law’ kini bertukar menjadi ‘Rule of the Jungle’.

Katanya, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan, rakyat tertunggu-tunggu reformasi sistem perundangan di Malaysia seperti yang dijanjikan di dalam manifesto dan kempen Pakatan Harapan (PH), malah rakyat mengharapkan yang lebih baik kerana kerajaan PH sebelum ini sentiasa menyalahkan kerajaan lama di dalam mempertahankan ‘Rule of Law’.

“Namun harapan rakyat meleset malah mereka lebih teruk apabila mencabuli undang-undang secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri Yaakob

Sebagai contoh,   kata beliau tindakan Peguam Negara menggugurkan kes-kes pemimpin PH seperti kes  Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang digugurkan daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, juga kes LTTE iaitu menggugurkan pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Seremban Jaya iaitu P. Gunasekaran.

Katanya, Peguam Negara juga bertindak campur tangan dalam kes kematian Muhammad Adib yang sedang dalam inkues sehinggakan pihak mahkamah memutuskan bahawa Peguam Negara telah menghina mahkamah, malah kes Adib masih tergantung tiada kesudahan.

“Manakala dalam kes kapal Equinimity, Peguam Negara melantik peguam luar atas ketidakupayaannya mengendalikan kes tersebut dengan bayaran upah guaman sebanyak RM2 juta yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Tegas beliau, kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pula Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks sejenis walaupun video-video tersebut tulen, malah terdapat pengakuan dari Haziq bahawa beliaulah pelaku bersama Datuk Seri Azmin Ali, namun alasannya pengecaman wajah tidak dapat dipastikan.

“Selain Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dilihat mengamalkan ‘Rule of the Jungle’. Ini kerana tiada tindakan dikenakan ke atas kesalahan pilihan raya melibatkan PH di bawah akta kesalahan pilihan raya walaupun berpuluh-puluh laporan kesalahan pilihan raya dilakukan,” katanya lagi.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, SPR juga cuba perkenalkan peraturan yang bertentangan dengan akta kesalahan pilihan raya seperti mengenakan permit untuk kempen ziarah kasih dan rumah ke rumah walaupun akhirnya ditarik balik hasil campur tangan Peguam Negara.”