PADA awal Disember lalu Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika itu bekas timbalannya yang dipecat oleh beliau pada 1998  itu berdepan dakwaan serangan seksual terbaharu.

Namun,  Anwar menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya oleh bekas pegawai penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther.

Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Anwar pada 2 Oktober tahun lalu.

Beliau menyifatkan ia sebagai muslihat menjatuhkan imejnya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara. 

Anwar telah dibersihkan daripada tuduhan itu kerana pihak berkuasa mendapati kekurangan bukti untuk menyabitkannya dengan fitnah dan dakwaan berkenaan.

Mengenai peralihan kuasa, Perdana Menteri sebelum ini berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan itu sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November tahun depan.

Pengerusi Bersatu, parti komponen PH itu berkata beliau mungkin akan bersedia selepas itu.

Isu berkenaan bagai duri dalam daging dan sering mencetuskan kontroversi dan ia bertambah rumit apabila timbalan Anwar dalam parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu Mahathir meneruskan pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

Hubungan Anwar dengan Azmin bagai retak menunggu belah pada suatu ketika.

“Saya sudah berjanji untuk menyerahkannya dan saya akan tunaikan, saya fikir perubahan sejurus sebelum sidang kemuncak APEC akan mengganggu keadaan,’ kata Mahathir ketika ditemu bual oleh agensi berita, Reuters.

“Bagi saya, saya akan meletak jawatan dan saya menyerahkan kepadanya (Anwar). Jika orang tidak mahu dia, itu urusan mereka tetapi saya akan tunaikan bahagian janji saya…biarpun apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan tunaikan,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada penyerahan kuasa itu mungkin berlaku pada Disember 2020, Dr Mahathir berkata: “Kita akan tentukan apabila tiba masanya.”

Isu peralihan kuasa kepada Anwar telah dipersetujui oleh PH menjelang pilihan raya umum lalu.

Kelmarin beberapa ahli PKR mendesak Dr Mahathir mempercepatkan peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini kepada Anwar Ibrahim bagi membolehkan Presiden PKR itu mendapat tempoh mencukupi untuk menjalankan sebarang perubahan dalam pentadbiran negara.

Beliau dilihat merancang untuk menjadi pemimpin dunia pertama yang menganjurkan Sidang Kemuncak APEC sebanyak dua kali.

 Dr Mahathir  juga dilihat berusaha memperkukuhkan legasinya sebagai pemimpin dalam kalangan negara Islam.

Semalam, pendirian  Tun Dr Mahathir sudah sedikit berubah. Apabila menyatakan kesediaan berundur pada bila-bila masa sekiranya Majlis Presiden PH sebulat suara membuat keputusan.

Katanya, beliau akur melepaskan jawatannya berikutan segala keputusan diputuskan Majlis Presiden PH terdiri daripada empat parti.

“Saya fikir ini akan diputuskan empat parti bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak.

“Bagi saya, jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Menara Kembar Bank Rakyat, di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir sedar kedudukannya berada di tangan Majlis Presiden PH, dan bukan lagi di tangannya sendiri seperti ketika beliau menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN dahulu.

Lagipun, situasi politik tanah air pada hari ini nampaknya tidak sama seperti era pentadbiran Dr Mahathir ketika 1981-2003. 

Ketika itu, beliau boleh melakukan apa-apa sahaja kerana BN ketika di bawah pimpinannya menguasai dua per tiga majoriti di Parlimen. 

Dapat dikatakan bahawa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri atas ihsan  anggota PH yang lain yang terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.

Meskipun mempunyai  sedikit kerusi berbanding anggota parti lain dalam PH, namun Bersatu yang diterjauinya tetap diberi jawatan penting itu. Mengapa? Sebab, itulah persetujuan menjelang PRU-14. Jadi, untuk Dr Mahathir tidak berpegang kepada janji bersama sebelum ini, tentu tidak kelihatan molek.

Pada pertengahan Ogos lagi, sudah ada desakan supaya Dr Mahathir berundur. 

Ketika itu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim  mencadangkan Dr Mahathir supaya meletak jawatan selepas apa yang didakwanya perdana menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

“… Saya berpendapat masa sudah sampai untuk Dr Mahathir berundur sebagai perdana menteri.

“Beliau sudah jelas kelihatan tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengapakah Dr Mahathir begitu keberatan untuk berundur walaupun itu persetujuan dicapai sebelum PRU-14? 

Kalangan yang menyokong beliau terus menjadi Perdana Menteri berpendirian beliau harus diberi masa hingga tamat tempoh dan diserahkan kepada Anwar jawatan itu selepas kemenangan PH dalam PRU-15.

Alasan mereka Dr Mahathir masih punya banyak idea dan masalah negara untuk diselesaikan.

Bercakap soal masalah negara, sampai bila-bila pun sebenarnya masalah negara tidak akan selesai.

Dan bagi yang menentang, bukan Dr Mahathir saja yang punya banyak idea, malah bagi yang menentang, beliau sudah bagai kehilangan idea baharu. Sudah jumud.

Bukankah Anwar juga banyak idea. Itu hujah mereka yang mahu Anggota Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri segera.

Bagaimana mereka pasti PH akan pasti menang dalam PRU-15 nanti? Bagaimana kalau PH kalah? Tentu calon Perdana Menteri dalam penantian yang paling lama menunggu itu akan sekali lagi terpaksa menghisap jari. Maksudnya, beliau akan sekali lagi berputih mata.

Bagi yang mahu Dr Mahathir berundur,  dengan berundur secara sukarela, sumbangan negarawan berusia 94 tahun itu akan tetap dikenang dan dihormati. Malah, reputasinya akan melonjak.

 Bagi Anwar, saya percaya meskipun jauh di sudut hatinya beliau mahu  Dr Mahathir berundur segera, namun Presiden PKR itu perlu berhati-hati agar pisang tidak berbuah dua kali. Beliau perlu menangani isu ini bagai menarik rambut dari dalam tepung.

Anwar  seperti dinyatakannya di Sabah malam tadi mengulangi pendiriannya bahawa pengunduran  Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri perlu dilakukan mengikut cara yang betul.

Tegasnya, beliau tidak bersetuju sekiranya peralihan kuasa dilakukan secara tidak teratur.

“Sepertimana saya ulang, ia harus diadakan dengan baik Tun Mahathir banyak pengalaman, jasa dan ada muafakat kita dan janji kita.

“Jadi, sebaiknya ia dibuat dengan cara baik. Saya tidak setuju jika proses itu tidak cara aman dan teratur,” katanya seperti dipetik media.

Jadi, persoalannya, adakah Majlis PH akan berani membuat keputusan meminta Mahathir berundur dalam waktu terdekat?  Adakah perkara ini akan dibawa ke meja periundingan Majlis PH dalam waktu terdekat susulan perubahan pendirian Pengerusi PH itu?