MEMBAKUT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya bahawa pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri perlu dilakukan mengikut cara yang betul.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau tidak bersetuju sekiranya peralihan kuasa dilakukan secara tidak teratur.

“Sepertimana saya ulang, ia harus diadakan dengan baik Tun Mahathir banyak pengalaman, jasa dan ada muafakat kita dan janji kita.

“Jadi, sebaiknya ia dibuat dengan cara baik. Saya tidak setuju jika proses itu tidak cara aman dan teratur,” katanya kepada pemberita, di sini  malam tadi seperti dipetik Astro Awani.

Pada Isnin, beberapa ahli PKR dilaporkan menggesa agar dipercepatkan peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini, bagi memberi lebih masa kepada Anwar untuk melaksanakan reformasi pentadbiran negara.

Mengulas  gesaan itu, Anwar berkata, perkara itu perlu dibincangkan memandangkan mereka perlu memahami apa-apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Mereka komited untuk memahami apa-apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan saya fikir ia akan diselesaikan dengan baik dalam Majlis (Presiden) PH.

“Malah, saya fikir Tun Mahathir akan melakukannya sendiri bagi mengelakkan ia menjadi buruk,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya serta-merta jika diminta berbuat demikian oleh Majlis Presiden PH.

Beliau berkata, perkara itu perlu diputuskan secara bersama dengan kesemua parti dalam PH.

“Saya fikir ini akan diputuskan oleh empat parti (PH) bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi.

“Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Forum Integriti Bank Rakyat 2020 di Kuala Lumpur.