SARIKEI: Perbicaraan kes saman Kerajaan Sarawak seharusnya menarik minat ramai warga Sarawak kerana secara langsung atau tidak, kedudukan keistimewaan dan hak negeri ini seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar oleh sebuah syarikat iaitu Petronas.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol berkata, walaupun kes itu dibawa atas nama Kerajaan Sarawak tetapi secara prinsipnya ia adalah antara Petronas dan rakyat Sarawak.

Justeru katanya, kehadiran orang ramai terutama penyokong GPS di mahkamah seharusnya tidak dilihat daripada aspek sokongan politik sahaja tetapi juga mewakili rakyat Sarawak berbilang kaum dan latarbelakang.

“Mereka datang kerana menyedari bahawa implikasi atau keputusan kes ini secara langsung atau tidak akan menentukan sama ada kedudukan istimewa Sarawak dalam Perjanjian Malaysia dan mengikut Perlembagaan Persekutuan dihormati atau terjamin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, generasi masa depan akan berbicara tentang peristiwa hari ini untuk menilai kesungguhan serta perjuangan kerajaan mempertahankan hak serta kepentingan Sarawak.

“Kita tidak mahu membuang masa untuk terlalu kerap berbicara tentang perkara-perkara yang lepas kerana lebih penting ialah tindak-tanduk kita pada hari ini dan hari-hari seterusnya sebagai anak jati negeri yang cekal dan berani untuk mempertahankan maruah bumi Kenyalang ini.

“Dalam setiap jiwa anak negeri mesti ada semangat, seperti mana pesanan Tok Nan ‘jaga Sarawak baik-baik’ dan seruan Abg Jo yang mahu kita semua Sayangkan negeri Sarawak,”ujarnya.