KERAJAAN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak melupakan kebajikan warga emas walaupun golongan muda menjadi penggerak utama menjayakan transformasi negara.

Untuk itu, sejumlah RM24.4 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak dalam inisiatif Kad Emas Kenyalang (KGC) yang dijangka memberi manfaat kepada 16 peratus (526,000) populasi warga emas berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030

Sebelum ini Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kemudahan itu antara inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan berkenaan.

Bermula Januari ini, antara manfaat yang dinikmati oleh pemegang kad itu ialah rawatan di klinik atau hospital, diskaun penerbangan dan pengangkutan awam, perlindungan insurans, serta Bantuan Khairat kematian berjumlah RM3,000.

Sudan Kana, 60, ketika ditemui wartawan berkata, dia menyokong penuh usaha murni Kerajaan Sarawak yang membela nasib warga emas.

“Kad ini amat membantu khususnya golongan bukan pesara kerajaan dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap sebelum ini untuk menikmati perlindungan insurans.

“Sekurang-kurangnya warga emas yang tidak berkemampuan turut mempunyai jaminan kebajikan dengan menikmati insurans yang ditawarkan,” kata Sudan yang juga suri rumah berasal dari Kapit.

Latit Sigeh, 58, yang juga berasal dari Kapit berkata, kad itu sedikit banyak membantu kebajikan warga tua ketika mencapai usia 60 tahun kelak.

“Apabila sudah tua, menanggung pelbagai penyakit hakikat yang harus diterima. Oleh itu, saya berpendapat kad seperti ini sangat bagus untuk warga tua.

“Seperti diumumkan kerajaan, pemegang kad ini menikmati manfaat rawatan di klinik atau hospital.

“Justeru, diharap inisiatif ini dapat memudahkan urusan warga tua ketika menerima rawatan,” tambah Latit.

Sementara itu, bagi penduduk Long Bemang Baram, Ngau Jau, 62, Bantuan Khairat kematian dapat membantu urusan pengebumian yang sempurna bagi yang tidak berkemampuan.

Menurut Ngau, sekurang-kurangnya inisiatif itu dapat membantu warga emas yang kurang berkemampuan khususnya yang tinggal sebatang kara.

“Mereka yang sakit melarat termasuk pihak yang menjaga golongan tua ini ialah golongan yang paling banyak mengharungi kesukaran.

“Dengan kad ini, diharap golongan tua seperti kami mempunyai jaminan yang baik dari segi kebajikan dan kesihatan,” ujarnya.

Yuanah Eng, 52, berpendapat kad tersebut meringankan beban khususnya warga emas yang miskin di pedalaman yang memerlukan bantuan pengangkutan ke hospital.

“Kos pengangkutan ke Hospital Umum di Kuching terutamayang jauh tinggal di kawasan pedalaman sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Jadi kita berharap kad ini dapat memudahkan urusan warga

emas yang tidak mampu ketika mahu mendapatkan rawatan di hospital Kuching kelak,” katanya yang berasal dari Long Bemang Baram.

Sementara itu, warga Kuching, Mansor Bohari, 57, berharap kad itu akan memberikan lebih banyak manfaat kepada golongan warga emas memandangkan ia baru diperkenalkan.

“Jika Kerajaan Sarawak serius dalam usaha ke arah pendigitalan, mereka juga perlu memudahkan urusan ini dengan mewujudkan platform permohonan secara talian.

“Sekurang-kurangnya warga emas mempunyai pilihan untuk mendaftar secara talian tanpa perlu hadir ke

pejabat kebajikan atau daerah untuk memohon kad tersebut,” katanya.