KUCHING: Sumbangan sebanyak RM18,000 disalurkan oleh KFC kepada empat badan dan persatuan amal bersempena Hari Krismas lalu. Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran KFC Sarawak Joey Siaw berkata, ini merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat KFC untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Empat badan amal berkenaan adalah Pusat Dalam Komuniti (PDK) Orang Kurang Upaya (OKU) Gemilang Bintulu sebanyak RM4,000, Pusat Jagaan Kanak-kanak Methodist Miri sebanyak RM5,000, Salvation Army Boy’s Home Kuching sebanyak RM4,000 dan Sarawak Cheshire Home Kuching sebanyak RM5,000.

“Sumbangan ini adalah hasil inisiatif Tabung Penyayang KFC, penjanaan dana khas dan program dalam komuniti yang dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya pada Program Penyerahan Cek Sumbangan di KFC Vivacity Megamall di sini, semalam.

Katanya lagi, dana itu merupakan hasil sumbangan orang awam melalui kotak sumbangan yang diletakkan di kaunter pembayaran di setiap restoran KFC di seluruh Malaysia.

“Sepanjang tahun lalu, KFC membantu 18 badan amal di seluruh Sarawak yang keseluruhannya berjumlah RM83,000. “Sumbangan ini termasuk empat musim perayaan yang disambut masyarakat Sarawak seperti Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Aidilfitri dan Hari Krismas,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa KFC komited dalam membantu masyarakat sekeliling tanpa mengira bangsa dan agama melalui pelbagai projek dan program yang efektif untuk memberi impak positif kepada rakyat.

Tambahnya lagi, sepanjang tahun KFC telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu masyarakat termasuk KFC Add Hope Malaysia dan Projek Penyayang KFC. “Bagi mereka yang kurang berkemampuan, kami memberi makanan KFC kepada 150 badan amal sebanyak dua kali setahun pada musim perayaan.

“KFC juga membantu mereka yang kurang benasib baik (OKU) dalam memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat berkhidmat dengan KFC,” katanya lagi. Program CSR KFC boleh dilayari melalui laman web https://dine.kfc.com.my/csr.

Koordinator Program Salvation Army Boy’s Home Kuching Imelda Jipos dan Pengurus Sarawak Cheshire Home Kuching Lee Choo antara yang hadir.