Kerajaan Sarawak terus mengambil berat aktiviti agama lain selain Islam melalui Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) demi keharmonian rakyat pelbagai rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata beliau berusaha bersikap adil kepada agama lain sepertimana dalam Islam ini sesuai dengan Piagam Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW.

“Sarawak satu-satunya negeri yang menyediakan bantuan kewangan kepada agama lain selain Islam dengan cara tersusun melalui UNIFOR,” kata Abang Johari merujuk kepada usaha menubuhkan UNIFOR bermula Mei 2017.

Beliau turut menegaskan bukan tugas mudah memupuk keharmonian rakyat berbilang budaya dan latar belakang agama di negeri ini, tetapi rakyat Sarawak dilihat menunjukkan hidup bersama walaupun berbeza agama dan budaya.

Pada 2018 melalui Unifor diagihkan untuk 226 projek kepada pelbagai badan agama selain Islam di Sarawak.

Sementara pada tahun 2019 Kerajaan Sarawak menyediakan dana RM30 juta bagi Unifor membantu keperluan pembinaan rumah ibadat agama selain Islam.

Untuk tahun 2020 Kerajaan Sarawak sedia memperuntukkan RM50 juta untuk
Unifor.

Ini menunjukkan keprihatinan Abang Johari sebagai pemimpin negeri, demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama di Sarawak.

Paling penting bagaimana kerajaan di bawah pimpinan Abang Johari melihat kepentingan semua rakyat termasuk mengambil tahu tentang keperluan kepercayaan mereka.