MIRI: Dengan pengurusan cekap dalam pengagihan zakat, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjaya mendapat pengiktirafan di seluruh negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan itu hasil daripada sistem pengurusan baik yang telah diamalkan badan Islam tersebut.

“Zakat yang diurus dengan baik dapat membantu umat Islam itu sendiri.

“Kita mementingkan fisabilillah. Alhamdulillah, kita diikitiraf di seluruh negara. Hingga ke hari ini Baitulmal telah menjadi model dan diguna pakai di negara-negara luar,” katanya berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Dewan Suarah Miri, Isnin malam.

Terdahulu, Abang Johari sekali lagi menegaskan peranannya sebagai Ketua Menteri yang bertanggungjawab menjaga seluruh warga Sarawak tanpa mengira latar belakang agama.

“Kita mempunyai masyarakat berbilang kaum, dan agama. Pemimpin-pemimpin yang beragama Islam sentiasa memberi pengurusan dan pentadbiran adil kepada semua masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Saya sendiri seorang yang beragama Islam dan pengurusan kita adil kepada yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Ini konsep pentadbiran telus yang boleh memberi kemakmuran untuk semua menjalankan ibadah dengan lebih tersusun dan sempurna,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Abdul Rahman Junaidi, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.