Sekolah antarabangsa bakal dibina di negeri ini, sekali gus memberi peluang kepada pelajar luar bandar dan murid daripada kumpulan B40 – termasuk anak petani dan nelayan untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

Konsep sekolah berasrama penuh memupuk kecemerlangan pelajar tempatan, terutama dari luar bandar untuk memasuki universiti elit di luar negara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sekolah berkenaan akan memberi peluang kepada anak-anak pintar ini, sekali gus mendedahkan mereka kepada kurikulum antarabangsa.

Sekolah ini mengikut sukatan pelajaran antarabangsa, manakala model pembelajaran sama seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Konsep sekolah ini berbeza dengan sektor swasta, menyediakan peluang kepada murid pintar dari luar bandar untuk menikmati peluang belajar berdasarkan kurikulum antarabangsa.

Dasar ini menurut Abang Johari bukan menidakkan sukatan pelajaran Malaysia, tetapi lebih bertujuan melahirkan pelajar berkualiti.

Bagi Abang Johari, untuk menyediakan generasi muda dengan pemikiran global, mereka perlu didedahkan dengan persekitaran pembelajaran yang bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, kerajaan merancang membinaan lima sekolah antarabangsa yang lengkap dengan asrama untuk 70 peratus pelajar luar bandar dan 30 peratus lagi pelajar bandar.

Pembinaan lima sekolah ini menelan kos RM300 juta dan dibina secara berperingkat-peringkat

Sebuah sekolah antarabangsa dibina di Batu 12 Jalan Kuching-Serian dan dijangka beroperasi 2021. Sebuah lagi dibina berdekatan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

Sementara tiga lagi sekolah, masing-masing akan dibina di Miri, Bintulu dan Sibu.

Di Sibu sekolah antarabangsa dibina berhampiran kawasan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) yang mengguna pakai sukatan standard Universiti Cambridge, Universiti Stamford dan Universiti Oxford.