KUCHING: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata pelajar perlu mengambil kira peluang pekerjaan sebelum memilih kursus pengajian mereka di peringkat pendidikan tinggi.

Menurut beliau, pasaran pekerjaan pada masa ini berbeza berbanding tahun 60-an dan 70-an dan mempunyai kelayakan tidak menjamin graduan mendapat pekerjaan selepas menamatkan pekerjaan.

Jelasnya, graduan yang mempunyai kelayakan di peringkat pengajian tinggi perlu berfikir sama ada sijil mereka menjamin pekerjaan atau tidak walaupun lulus.

Ujarnya, pada masa ini graduan yang mempunyai kelayakan dalam bidang sains sosial agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan berbanding graduan yang mempunyai kelayakan dalam kemahiran teknikal dan vokasional.

Beliau berkata demikian pada persidangan Malaysia-Indonesia Go Study China di Pusat Maklumat Islam semalam.

Bertemakan “Ke Arah Kerjasama Pendidikan dan Pembangunan Wilayah’, persidangan tersebut dianjurkan oleh Persatuan ACEC yang membincangkan mengenai pilihan biasiswa dan peluang belajar di China dan dihadiri oleh wakil dari enam universiti dari China.