MIRI: Piagam Madinah menjadi asas kepada pentadbiran dan pengurusan di Sarawak yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menerusi Piagam Madinah orang Islam dan bukan Islam dapat disatukan di bawah satu pentadbiran yang adil.

“Kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan pemimpin-pemimpin Islam memberikan pengurusan dan pentadbiran yang adil kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Walaupun Ketua Menterinya Islam, saya seorang Islam, tetapi pengurusan negeri kita adalah adil kepada Islam dan bukan Islam.

“Inilah konsep pentadbiran yang telus dan yang boleh memberikan kemakmuran dan dapatlah kita menjalankan ibadah dengan lebih tersusun dan dalam keadaan yang lebih sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1441/2020M “Ummah Gemilang” yang diadakan di Dewan Suarah Miri pada Isnin.

Seramai 22 peserta Qari dan Qariah dan 30 peserta menghazaf Al-Quran akan memperdengarkan bacaan Al-Quran sepanjang empat hari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak berlangsung.

Datuk Patinggi Abang Johari menambah pengurusan zakat yang baik dan tersusun telah menjadikan Baitulmal Sarawak telah diiktiraf di seluruh negara dan menjadi model dan pengurusannya telah digunapakai di negara-negara Islam minoriti di dunia.

“Ketika Baitulmal ditubuhkan, banyak prasangka mengenai dengan fungsi Baitulmal.

“Selaku pengerusi yang pertama diamanahkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, mempengerusikan Baitulmal Sarawak, saya sendiri telah cuba untuk memperkuatkan dana Baitulmal di mana zakat kita diuruskan dengan baik.

“Dan, zakat pula dapat memberikan cahaya kepada cara-cara kita hendak membantu umat Islam itu sendiri di mana kita mementingkan kepada fi-sabilillah, asnaf fi-sabilillah,” tambahnya.

Dana Baitulmal ini digunakan untuk membangunkan umat Islam sendiri melalui pembangunan masjid-masjid dan juga memberikan bantuan kepada keperluan persekolahan dan pendidikan.