PUTRAJAYA: Arab Saudi hari ini menyerahkan pampasan kepada waris kesemua tujuh jemaah haji Malaysia, yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Makkah pada 2015, pada satu majlis di Kompleks Islam Putrajaya.

Bayaran pampasan bernilai satu juta Saudi Riyal (bersamaan kira-kira RM1.17 juta) kepada setiap waris mangsa berkenaan adalah pampasan peribadi Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud, kepada mangsa kejadian kren tumbang yang mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436 Hijrah.

“Selain waris mangsa yang terkorban, turut menerima pampasan adalah tiga jemaah haji Malaysia yang cedera dalam insiden itu dengan masing-masing menerima 500,000 Saudi Riyal (bersamaan kira-kira RM587,574),” lapor Bernama.

Pampasan disampaikan Duta Arab Saudi ke Malaysia Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan bagi mewakili Kerajaan Arab Saudi dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.