MIRI: Perkongsian pengetahuan tokoh ilmuan Islam Ibnu Khaldun dan rakannya Al-Khatib bersama-sama Muhamad Ibnu Ibrahim yang merupakan pakar Matematik telah mencetuskan satu budaya dikenali ilmu ekonomi yang wujud pada tahun 1300M.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini menjadi model kepada kita umat Islam untuk mendalami ilmu dan yang berteraskan kepada Igra.

“Dan, dalam konteks negeri Sarawak, sebab itu saya anjurkan ekonomi digital yang berteraskan kepada ilmu matematik dan logaritm.

“Di sini, saya minta anak Islam supaya mendalami ilmu-ilmu begini. Sekarang ini ada ilmu baharu yang ada kaitan dengan digital iaitu data raya dan juga ‘data analitik’.

“Ini ialah jurusan yang baharu yang dapat memberikan kita maklumat terkini dan maklumat ini pula menjadi asas untuk kita membangunkan ekonomi kita. Bahkan ilmu fizik adalah ilmu yang terokai oleh ilmuan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1441/2020M “Ummah Gemilang” yang diadakan di Dewan Suarah Miri pada Isnin.

Pada majlis itu, turut diadakan beberapa aktiviti di ruang legar Dewan Suarah Miri sepanjang Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak antaranya Kuiz Al-Quran, Pameran Teks dan Bahan Al-Quran The Holy Quran & 60 Tahun Tilawah, Pameran Jabatan dan Agensi Kerajaan dan pembukaan gerai makanan dan minuman.

Abang Johari menambah di samping menjadikan Sarawak negeri termaju pada tahun 2030 dengan ilmu pengetahuan dan terkini serta iklim hidup yang baik.

“Isikanlah 10 tahun ini dengan ilmu yang terkini.

“Dan, amankanlah negeri kita Sarawak supaya Sarawak dapat mempunyai iklim hidup yang baik antara sesama kita dan kita panjangkan tali persaudaraan kita dengan orang bukan Islam,” katanya.

“Bagi kita, sama-sama bergerak dalam satu nada, dalam satu irama dan seterusnya dengan itu lunaklah suaranya dan lunaklah Sarawak Ibu Pertiwi kita,” tambahnya.