HULU SELANGOR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata antara keutamaan sebagai pemangku Menteri Pendidikan adalah untuk meneliti masalah yang berlaku dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Secepat mungkin,” katanya secara berseloroh apabila ditanya bila beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan, seperti dipetik Bernama.

“Terdapat banyak masalah dalam Kementerian Pendidikan. Jadi, saya perlu tahu kenapa masalah-masalah itu dibangkitkan dan mencari penyelesaian,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat depoh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), di Serendah, di sini, pada Isnin.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan dipecahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mahathir berkata: “Itu akan menjadi perkara yang akan saya pertimbangkan mengikut saranan anda (wartawan).”