KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, mendedahkan terdapat komplot jenayah bagi memalsu dan mengedarkan bahan bertujuan mencalar reputasi peribadinya.

Sehubungan itu, katanya,  pegawai khas beliau akan membuat laporan polis awal pagi ini dan menyerahkan bukti berhubung komplot  dan menyerahkan bukti kepada polis.

“Kami percaya seorang peguam antara yang terbabit menjadi dalang di sebalik komplot ini, justeru laporan polis bakal dibuat dan bukti diserahkan pagi esok (hari ini),” katanya dalam kenyataan.

Menurut peneraju SPRM itu,  tujuan pendedahan berkenaan adalah demi kepentingan awam, rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.

“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan berkenaan, satu komplot jenayah dimulakan untuk mereka memalsu dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, Latheefa mengadakan sidang media selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mendedahkan  sembilan klip audio perbualan telefon bekas Perdana Menteri dengan beberapa individu termasuk dengan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Rakaman percakapan telefon  yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan.

SPRM menyatakan  keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.

“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Masyarakat umum meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini dari gejala rasuah.

“Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini, walau apa pun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau dalam masa akan datang,” tegasnya.