KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan pihaknya telah menerima sembilan rakaman audio yang didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya minggu lalu.

Jelas Abdul Hamid, siasatan akan dijalankan meliputi semua aspek berhubung kandungan rakaman audio itu.

“Sembilan klip audio itu, kita akan jalankan siasatan dari semua sudut, dari mana audio itu diperoleh dan apakah kandungan audio tersebut, sama ada audio itu adalah dia authentic (asli) atau tidak.

“Kita akan menjalankan siasatan beberapa Seksyen 203 (a) di bawah Kanun Keseksaan kerana penjawat awam mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak tidak sepatutnya didedahkan.

“Seksyen 218 Kanun Keseksaan, penjawat awam membentuk satu tulisan tidak betul untuk menyelamatkan seseorang daripada hukuman dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mengesahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu akan dipanggil bagi dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

 

Rabu lalu, Latheefa mendedahkan sembilan set rakaman perbualan yang didakwa membabitkan perbualan antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama beberapa individu berhubung kes skandal 1Malaysia Developtment Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Jelas Latheefa dalam sidang media itu, ia merupakan konspirasi jenayah peringkat tertinggi dan hasil siasatan agensi itu mendapati ia adalah tulen setakat ini.