KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan menjelaskan baki RM650 juta kepada Kerajaan Persekutuan   bagi memastikan projek membaik pulih dan membina semula sekolah usang dapat terus dilaksanakan demi masa depan murid-murid di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pada tahun lepas RM350 juta dibayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan itu.

Jelasnya, pembayaran RM650 juta itu ialah baki RM1 bilion yang perlu dibayar oleh Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan untuk pakej membaik pulih dan membina sekolah usang.

“Kita mahu sekolah di kampung, dekat rumah panjang dinaik taraf,” katanya sambil menambah ada yang mendakwa bahawa ia merupakan hadiah kepada kerajaan Sarawak.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Sarawakku Sayang di sini, semalam yang dihadiri sekitar 4,000 ribu orang.

Tanpa menyebut nama, beliau merujuk kepada bekas Menteri pendidikan ketika berucap di Parlimen, menyatakan bahawa ia hadiah untuk rakyat Sarawak.

“Kalau kita tidak bayar dulu, tidak ada dana. Tetapi kita tahu, ini penting kepada kita, dan kami dalam Kerajaan Sarawak, kita akan naik taraf sekolah-sekolah kita,” katanya.