KUCHING: Kes saman kerajaan Sarawak terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berikutan cukai jualan negeri (SST) yang belum dibayar dan penalti lebih RM1.3 billion akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuching juga akan menjalankan pengurusan kes bagi Petronas yang memohon semakan kehakiman untuk membatalkan Notis Taksiran oleh kerajaan negeri melalui Pengawal SST.

Menurut laporan daripada Utusan Borneo, kedua-dua kes masih berada di peringkat awal di mahkamah akan diadakan pada jam 9 pagi ini seterusnya pada jam 2.30 petang.

Pegawai daripada Jabatan Undang-Undang Negeri memaklumkan, prosiding seperti ini biasanya akan didengar di dalam bilik hakim, namun hakim boleh memindahkan mana-mana kes ke mahkamah terbuka sekiranya ruang tidak mencukupi untuk menampung semua peguam yang hadir.

Untuk rekod,  kerajaan Sarawak merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Perlombongan Petroleum 1958 (OMO58) manakala Petronas pula merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), selain merujuk kepada undang-undang lain.