SARATOK: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan Jalan Sebangan Sebuyau membabitkan kereta yang dinaiki isteri, adik ipar dan cucu ADUN Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz tengah hari tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, dalam kejadian itu, Poziah Udin, 64 tahun, penumpang bahagian belakang sebelah kiri maut dalam kemalangan itu.

Sementara itu, isteri Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, Datin Fatimah Zainudin, 70, yang berada di tempat kerusi penumpang hadapan mengalami kecederaan retak tulang paha kanan.

Seorang lagi penumpang kerusi belakang sebelah kanan, Khartinah Firdaus, 68, mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki kanan dan patah tangan kanan.

Pemandu Toyota FJ Cruiser, Izzat Al Haqeem Khairul Azizi, 23 tahun, pula mengalami patah tangan kiri .

Ketika kejadian keluarga mangsa dalam perjalanan dari Kuching ke Kabong.

Mangsa yang cedera telah dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Simunjan sebelum di rujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan susulan. Manakala Khartinah Firdaus, 68, telah dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa cuba memotong dua buah motokar lain di hadapannya dan telah bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.