Kesesakan jalan raya khususnya di bandar di negeri ini, memaksa Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg memikirkan alternatif, selain menyelia dan menaik taraf jalan raya di bandar.

Semua ini bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan serius yang dilihat mengganggu “ketenangan” pengguna jalan raya, selain melambatkan masa dan membazir wang ringgit.

Ia juga menjadi agenda pembangunan bandar raya Kuching menjelang 2030 dengan melaksanakan sistem pengangkutan awam lebih efisien.

Mengatasi masalah kesesakan yang berkadar terus dengan pertambahan kenderaan dari tahun ke tahun, dan meningkatnya jumlah populasi penduduk bandar khususnya di dalam kawasan bandar raya Kuching, Abang Johari sendiri mencadangkan agar dilakukan kajian untuk membangunkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Hasil kajian tersebut membawa kepada cadangan terbaharu membangunkan sistem kereta api Autonomous Rail Rapid Transit (ART) – sistem pengangkutan awam canggih, berteknologi tinggi.

ART asalnya dirancang meliputi perjalanan Kuching-Samarahan menyelesaikan isu kesesakan serta membantu pembangunan bandar raya ke arah kemajuan berteknologi tinggi.

Abang Johari juga membayangkan pelaksanaan ART nanti mungkin melibatkan Samariang hingga Matang, Batu Kawa ke Bau dan Lundu hingga Sematan.

ART ialah sistem pengangkutan awam kereta api tanpa landasan digunakan sebagai pengangkutan di dalam bandar, sama seperti busway, menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemandunya.

ART pertama dirancang beroperasi seawal 2023 menelan kos tiga kali ganda lebih murah serta praktikal berbanding sistem LRT kerana tidak memerlukan landasan khas, dibangunkan melalui laluan pintar yang dikawal menggunakan alat peranti.

Sistem ART – hibrid antara kereta dengan bas rapid – sudah lama diperkenalkan di China menggunakan kuasa elektrik yang dapat dicaj semula.

ART dilengkapi tiga hingga lima gerabak, mampu bergerak sejauh 35 kilometer dengan kelajuan 70 kilometer sejam dan berupaya menampung sehingga 500 penumpang pada satu-satu masa.

ART membantu melakarkan pelan estet perumahan dalam membuka estet perumahan baharu di pingggir bandar raya Kuching untuk mereka yang bekerja di bandar, tinggal semasa hari bekerja dan pulang ke kampung pada hujung minggu.