KUCHING: Segala projek yang dirancang tidak akan dapat disiapkan dalam sekelip mata kerana ia membabitkan banyak proses.

Ketua Menteri berkata, projek berkenaan tidak dapat terus siap, dan meminta rakyat memberi beliau sedikit masa.

Beliau menyatakan demikian di sebalik kritikan netizen melalui media sosial yang mendakwa beliau hanya berjanji dan bercakap sahaja.

“Bagi saya masa, ia mengambil masa, tidak dapat terus siap. Adalah orang sihir, buat Facebook, Abang Jo cakap saja tetap tidak ada apa-apa,’ katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Sarawakku Sayang di sini semalam. 

“Memang ambil masa, kerana mana dapat paip diletakkan begitu saja,” katanya merujuk kepada inisiatif yang diambil beliau termasuk membekalkan air bersih ke luar bandar.

Ketua Menteri berazam menyelesaikan masalah air menjelang 2025.

Dalam tempoh tiga tahun memimpin Sarawak, Abang Johari telah memperkenalkan 81 inisiatif untuk rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

“Bukankah kerja pelik orang macam ini. Kerja baik, kata sihir. Saya tidak ada ilmu sihir, yang ada ilmu sihir David Cooperfield dan DAP ada,” katanya menyindir pembangkang.

Abang Johari berazam untuk membina jambatan, jalan raya, membaiki sekolah, membekalkan elektrik dan air, selain inisiatif membabitkan bidang ekonomi, sosial dan pendidikan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun lalu.