Selepas pembinaan beberapa jambatan penting merapatkan dua daratan terpisah seperti, Jambatan Lundu, Jambatan Batang Sadong, Jambatan Batang Samarahan dan sebagainya, Kerajaan Sarawak meneruskan usaha membina lebih banyak jambatan menyempurnakan Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak melalui projek Jalan Pesisir merancang membina tujuh projek jambatan lagi iaitu; Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Igan, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

Jambatan Batang Rambungan

Menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Jambatan Rambungan merupakan jambatan penting di laluan Jalan Pesisir menghubungkan bahagian selatan dengan utara negeri ini.

Panjang Jambatan Rambungan lebih kurang 560 meter mempunyai jalan raya tunggal, dua lorong yang mempunyai reka bentuk menarik dilengkapi lampu hiasan pada jambatan.

Pembinaan Jambatan Rambungan dengan kos anggaran RM99 juta, memudahkan penduduk termasuk pelancong berulang alik dari Telok Melano-Lundu-Sematan ke Kuching.

Menurut Abang Johari, rekaan jambatan ikonik inspirasi daripada Jambatan San Francisco, Amerika Syarikat ini bakal diterangi cahaya lampu pada waktu malam.

Jambatan Muara Lassa

Projek Jambatan Muara Lassa dijangka siap 2023 menelan kos pembinaan RM597.58 juta. Jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak.

Menurut Abang Johari, jambatan itu bukan sahaja menjadi penyambung utama bekalan air kepada penduduk, tetapi memberi impak positif terhadap sosioekonomi penduduk di kawasan berhampiran.

Paling penting, projek jambatan ini menjadi penghubung bandar utama di Sarawak seperti Kuching, Kota Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Jambatan Batang Lupar

Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari membina jambatan Batang Lupar sebagai penghubung laluan utama Jalan Pesisir.

Projek Jambatan Batang Lupar menjadi keutamaan kerana keletakan strategiknya di laluan alternatif Jalan Pesisir pantai.

Projek pembinaan jambatan tersebut merupakan agenda utama untuk membangunkan luar bandar termasuk jambatan dan jalan raya yang menghubungkan pedalaman dengan bandar.

Jambatan Batang Paloh

Projek jambatan Batang Paloh 1.7 kilometer melibatkan pembinaan jalan sejauh empat kilometer.

Pembangunan projek Jambatan Batang Paloh membawa limpahan pembangunan, sekali gus melonjakkan ekonomi kawasan yang berasaskan pertanian dan perikanan.

Jambatan Sungai Krian

Projek Jambatan Sungai Krian sepanjang 300 menelan kos RM174 juta diluluskan kerajaan untuk keperluan rakyat, melengkapkan jaringan yang terputus sepanjang Jalan Pesisir.

Pembanguan Jambatan Sungai Krian selaras keperluan rakyat yang tinggal di sepanjang kawasan tersebut termasuk Sematan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Maludam, Kabong, Bintulu dan Miri.

Jambatan Batang Igan

Projek Jambatan Igan sepanjang 1.8 kilometer menelan kos RM305 juta. Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan pembinaan jambatan itu penting kepada penduduk kampung di kawasan terbabit termasuk Daro, Matu, Igan dan sekitarnya menggantikan perkhidmatan feri.

Jambatan Batang Saribas

Projek Jambatan Batang Saribas sepanjang 1.55 kilometer menelan kos RM496 juta memberi banyak manfaat bagi kemudahan penduduk di situ.

Jambatan Batang Saribas dijangka siap pada Jun 2023 merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar agar seluruh rakyat dapat menikmati
pembangunan dan ekonomi lebih baik.

Jelaslah, pembinaan jambatan penting ini diteruskan Kerajaan Negeri di bawah Abang Johari dalam perancangan terkini dan seterusnya demi manfaat rakyat dan masa depan negeri ini.