Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang juga Menteri
Kewangan dan Perancangan Ekonomi, ketika membentangkan Belanjawan
Sarawak 2020 di Dun Sarawak pada 4 November lepas mengunjurkan peruntukan
RM9.89 bilion untuk negeri ini.

Daripada RM9.89 bilion, sebanyak RM6.59 bilion digunakan bagi perbelanjaan
pembangunan. Manakala, baki RM3.29 bilion untuk perbelanjaan pengurusan.
Kerajaan juga mengunjurkan pendapatan RM10.06 bilion dijana melalui
pendapatan cukai RM4.63 bilion.

Sebahagian besar pendapatan dipungut daripada cukai jualan minyak dan gas,
minyak sawit dan produk aluminium.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Abang Johari
memperkenalkan tujuh dasar memihak kepada rakyat.

Antara dasar tersebut ialah pertama, peruntukan RM30 juta bagi membantu anak Sarawak mengurangkan beban pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kedua, dasar menyediakan pengangkutan bas sekolah percuma bertujuan
meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang akan diperluaskan ke
semua bandar utama di seluruh negeri secara berperingkat.

Ketiga, bantuan sara hidup kepada nelayan (RM300 sebulan) pada musim
tengkujuh. Sebanyak RM9.1 juta diperuntukkan bagi elaun tunai tersebut,
manakala RM20 juta diperuntukkan bagi bantuan peralatan.

Kerajaan juga sedia memperkukuh kawalan pantai negeri bagi membantu Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin.

Sebanyak RM90 juta diperuntukkan bagi memenuhi aspirasi Ordinan Perikanan
Sarawak 2003.

Keempat, bantuan RM450 sekali bayar untuk ibu bersalin. Sebanyak RM18 juta
diperuntukkan bagi ibu yang melahirkan anak.

Kelima, pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik dan Sains dalam bahasa
Inggeris bermula untuk murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan di seluruh
negeri.

Keenam, Kerajaan Sarawak menanggung penuh kos pemasangan bekalan elektrik
RM5,000 ke rumah panjang dan kampung.

Sementara itu, untuk kos penyambungan RM10,000, pengguna mendapat
potongan 70 peratus, dan 30 peratus lagi ditanggung sendiri oleh pemilik
kediaman.

Ketujuh, program bekalan air percuma dengan Kerajaan Negeri membayar RM5
bagi setiap bil air bulanan sebuah rumah. Sebanyak RM40 juta diperuntukkan bagi
program ni memberi manfaat kepada 600,000 isi rumah.