KUCHING: Apa  makanan kegemaran Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg?

Mi jawa.

Apa pula moto hidupnya?

Ingin menjadi bahagia, tidak terlalu obses dan mesti percaya kepada Tuhan.

Itu jawapannya ketika ditanya santai baru-baru ini.

“Kita tak boleh terlalu obses, jika tidak anda akan kecewa dengan apa yang anda tidak dapat,” katanya.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang berfikiran terbuka, Adun Satok itu berkata, beliau suka menerokai idea baharu.

”Saya seorang yang berfikiran terbuka dan saya suka meneroka idea baharu,” kata pemimpin yang minat membaca buku dan tidak bermain golf itu.

Pada waktu lapang beliau suka berkebun di pekarangan rumahnya bersama-sama isteri yang disifatkannya sebagai ’sangat ‘sporting’.

“Kadang-kadang saya berkebun di belakang rumah. Saya telah menanam tomato, sayuran, kelapa, mangga, pisang dan cili. Saya mempunyai rumah hijau kecil yang menggunakan kaedah hidroponik,” jelasnya.

Hari ini merupakan ulang tahun ketiga beliau menjadi Ketua Menteri keenam Sarawak.

Dalam tempoh tiga tahun Abang Johari telah memperkenalkan 81 inisiatif rakyat.