KOTA SAMARAHAN: Genap tiga tahun  mentadbir negeri ini,  Ketua Menteri pagi tadi melancarkan Program Sayangku Sarawak bertemakan Jaga Sarawak yang mencerminkan azam beliau untuk mempertahankan dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak demi masa depan 2.8 juta rakyatnya.

Program yang bertujuan untuk menyantuni dan mendekati rakyat itu bertujuan untuk menjelaskan 81 dasar dan inisiatif yang telah dilaksanakannya sejak mengambil alih teraju kepemimpinan negeri daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Pemilihan Kota Samarahan sebagai lokasi melancarkan program penting itu adalah mengambil kira ia merupakan kawasan pesat membangun dari segi prasarana dan kemudahan, terutamanya dari segi pendidikan sehingga digelar Kota Ilmu.

Beliau menzahirkan azam dan hasratnya untuk membawa negeri ini ke hadapan dari segi infrastruktur, ekonomi dan sebagainya agar mencapai status negeri paling maju menjelang 2030.

Beliau menjelaskan, luar bandar akan terus menjadi tumpuan pembangunan pada tahun-tahun akan datang sebagai langkah membela nasib penduduk luar bandar.

Untuk itu, Pengerusi GPS itu telah menubuhkan beberapa agensi strategik seperti Lembaga Pembangunan Ulu Rejang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Beliau berjanji untuk menguruskan negeri ini dengan sebaik mungkin meskipun pentadbiran pusat telah bertukar ekoran kemenangan PH dalam PRU-14.

Selepas Kota Samarahan, lokasi Sarawakku Sayang seterusnya ialah Sri Aman. 

Program itu akan menjelajah ke seluruh Sarawak bagi mendampingi rakyat sesuai dengan pendekatan Abang Johari yang telah turun padang ke seluruh pelosok  negeri sejak menjadi Ketua Menteri keenam Sarawak.