KUCHING: Kerajaan Sarawak masih dalam pertimbangan untuk mengurangkan saiz tanah minimum bagi membina pangsapuri dan kondominium di kawasan bandar utama Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg, perkara tersebut perlu dibincang terlebih dahulu dengan Unit Perancang Negeri dan memastikan sama ada saiz tanah minimum tersebut dapat dikurangkan di sesuatu kawasan.

Jelas beliau, pangsapuri dan kondominium hanya dapat dibina di kawasan yang tertentu.

“Banyak permohonan telah diterima untuk membangunkan pangsapuri dan kondominium, namun tidak semua kawasan sesuai dijadikan tapak untuk membina pangsapuri atau kondominium,” katanya ketika berucap pada Jamuan Ulang Tahun ke – 26 SHEDA dan Anugerah Kecemerlangan 2019 di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak pemaju memahami situasi berkenaan dan memilih pembangunan hartanah jenis bertanah bagi kawasan yang tidak sesuai dengan pembangunan pangsapuri dan kondominium.

Dalam pada itu, katanya Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM180 juta untuk tujuan meransang pertumbuhan industri perumahan di Sarawak.