KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan rizab negeri tidak didepositkan ke dalam Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

Menurut beliau, hanya wang daripada kerajaan negeri termasuk syarikat milik kerajaan dan agensi kerajaan didepositkan ke dalam DBOS serta digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Wang deposit tersebut kita sewa keluar bagi membiayai projek-projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini manakala rizab negeri masih selamat disimpan di bank komersial,”

“DBOS adalah untuk membiayai projek infrastruktur kita di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) termasuk projek jalan, bekalan air dan elektrik,” katanya pada sesi sidang media khas bersama media di Wisma Bapa Malaysia sempena ulang tahun ke-3 beliau sebagai Ketua Menteri.

DBOS telah dilancarkan secara rasmi pada 4 November 2017 dengan modal RM500 juta berbayar daripada kerajaan negeri.

Peranan DBOS adalah untuk menyediakan pembiayaan alternatif kepada projek jangka panjang secara strategik.