ROBAN: Gara-gara memandu dalam ke adaan mabuk kenderaan yang dipandu akhirnya terhumban ke dalam parit.

Itu nasib yang menimpa seorang lelaki dari sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Pasir dekat sini apabila kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya terlibat kemalangan kendiri petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6. 30 petang itu lelaki tersebut yang berusia awal 60-an sebelum itu telah singgah di salah sebuah kedai runcit dan mengambil minum beralkohol.

Menurut saksi, selepas selesai sesi minum lelaki berkenaan beredar dan memandu kenderaan miliknya. Namun baru saja bergerak dalam jarak sekitar seratus meter lelaki tersebut hilang kawalan menyebabkan keretanya terbabas lalu merempuh tiang kabel telefon yang terletak di bahu jalan.

Penduduk sekitar digemparkan dengan bunyi dentuman kenderaan melanggar sesuatu dan mendapati kenderaan mangsa sudah separuh terbenam di dalam parit.

Beberapa penduduk rumah panjang berdekatan kemudiannya bergegas keluar dan membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaan.

Mangsa yang mabuk dikeluarkan oleh penduduk dan didapati mengalami kecederaan di bahagian dagu dan muka.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nyabor untuk mendapatkan rawatan.

Sudah kerap kali diperingatkan sama ada melalui media massa ataupun pendekatan lain tentang bahaya memandu ketika mabuk atau berada di bawah pengaruh alkohol.

Namun peringatan supaya orang ramai tidak memandu ketika mabuk sering diabaikan dan dibuat ‘tahi telinga’ sahaja oleh mereka yang degil dan tidak mematuhi undang-undang.

Lantaran itu menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi pengguna jalan raya diingatkan agar sentuasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan nilai-nilai positif semasa berada di jalan raya demi kebaikan bersama.