Membekalkan elektrik seratus peratus dengan mencapai liputan 24 jam khususnya di luar bandar, merupakan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kesungguhan ini juga selari dengan dasar membawa pembangunan dan kemajuan untuk luar bandar.

Kerajaan Sarawak dari awal memberi komitmen mencapai liputan bekalan elektrik 100 peratus kepada seluruh penduduk di negeri ini.

Kerajaan terus berusaha ke arah itu dari semasa ke semasa ketika isu logistik menjadi cabaran untuk mengotakan janji tersebut.

Kerajaan pada Oktober 2019 mengumumkan, bekalan elektrik 24 jam di Sarawak kini mencapai 92% dan ditingkatkan kepada 97% menjelang akhir tahun 2020.

Setakat ini, kekangan lokasi menyebabkan 26,400 isi rumah penduduk luar bandar masih belum menikmati bekalan elektrik 24 jam dan kerajaan menyasarkan lima tahun lagi iaitu pada 2025, melalui strategi penyelesaian sehingga seluruh negeri menikmati kemudahan elektrik ini.

Antara pendekatan dilakukan adalah melalui sambungan Bekalan Elektrik Luar bandar (BELB) dan sambungan RPSS Grid Penghantaran untuk kawasan yang mempunyai akses jalan raya.

Kerajaan bersetuju menanggung penuh kos pemasangan bekalan elektrik sebanyak RM5,000 ke rumah, mulai 2020 bagi meringankan beban rakyat.

Sementara itu, bagi kos pemasangan elektrik berjumlah RM10,000, sebanyak 70% diberi potongan, manakala 30% lagi ditanggung pemilik kediaman.

Selain itu, sebanyak 312 isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (SARES) yang menelan belanja RM19 juta.

Projek SARES bermula 2016 bertujuan menyalurkan bekalan elektrik 24 jam ke kampung, rumah panjang di pedalaman dan kawasan terpencil yang belum disambung ke talian grid utama.

Penjanaan elektrik ke kawasan terbabit menggunakan panel solar dan sistem mikrohidro.
Di samping itu, Abang Johari membayangkan untuk mewujudkan grid Borneo bagi membekal atau mengeksport bekalan elektrik ke ibu kota baharu Indonesia yang dipindahkan ke Kalimantan.