KABONG: Pukul 4 dinihari sesi tawar-menawar berlangsung. Harga jual akhirnya dipersetujui bersama. Daripada harga asal RM200 akhirnya sesi rundingan selesai dengan harga muktamad RM180 tunai !

Asal jadi duit, pagi-pagi buta pun bukan masalah. Itu sedikit sinopsis kepada kisah kehilangan tong biru milik seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Endot baru-baru ini.

Paparan kenyataan di atas adalah cerita dari mulut si pelaku sendiri ketika disoal siasat polis selepas berjaya dicekup.

Cerita dari mulut si pelaku itu juga menjawab teka-teki misteri hilangnya tong biru lebih seminggu yang lalu.

Pada awalnya seorang nelayan yang hendak turun ke laut terserempak dengan tiga lelaki sedang berbincang sesuatu di tepi jalan dengan tong biru turut berada tidak jauh dari situ pada ketika itu.

Tong yang dicuri berjaya dijumpai semula….

Curiga dengan gerak geri tiga lelaki sedang berbincang pada waktu luar biasa tersebut nelayan itu terus memaklumkan kepada ahli kumpulan whatsapp mengenai apa yang dilihatnya dan meminta anggota ‘group’ menyiasat siapa dalam kalangan penduduk ada kehilangan tong biru.

Si ibu tunggal yang tongnya kena curi adalah salah seorang ahli dalam ‘group whatsapp’ itu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, ibu tunggal tersebut yang kerja hariannya berjaja hasil laut dan pertanian dengan cara berbasikal telah memulakan risikan senyap sambil menjalankan aktiviti berjaja seperti biasa pada sebelah pagi.

Misi pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila tong yang dicari dilihat berada di salah sebuah rumah penduduk di situ.

Dia yang sangat pasti tong itu miliknya berdasarkan ada tanda di badan tong terus melaporkan perkara berkenaan kepada ketua kampung untuk tindakan selanjutnya.

Ketua kampung kemudiannya bertindak menuju ke rumah yang dimaksudkan dan selepas beberapa ketika ditanya dan didesak individu yang pada mulanya menyatakan tong itu memang miliknya akhirnya mengaku tong itu dibeli daripada dua lelaki.

Maka bermulalah siasatan melibatkan pihak polis yang akhirnya membawa kepada terbuka sepenuhnya kisah kecurian itu yang disusuli dengan penangkapan dua lelaki berusia sekitar 30-an.

Pelaku mengaku mencuri tong tersebut dengan terlebih dahulu membuang air di dalam tong tersebut dan kemudiannya memikul tong untuk dihantar dengan seseorang untuk dijual.

Dan ketika berjaya ditangkap mereka berdua memberitahu wang sudah habis dibelanjakan. Dua lelaki tersebut turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan pernah ditahan polis juga sebelum ini. Turut disoal siasat polis si pembeli tong berkenaan.

Pemilik asal tong yang ditemui hari ini memberitahu dia tidak menyangka tong berkenaan dijual dengan orang yang sama kampung dengannya.

Katanya dia bersyukur kerana tong tersebut berjaya dijumpai semula dan berterima kasih kepada ketua kampung dan pihak polis yang terlibat dalam menyelesaikan kes tersebut.

Gambar hiasan….
Gambar hiasan….