KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan beliau memanfaatkan pengalamannya sepanjang berkhidmat di kabinet negeri untuk menerajui Sarawak selepas memegang jawatan Ketua Menteri pada tahun 2017.

Beliau berkata, pengalamannya berkhidmat selama lebih 40 tahun di dalam kabinet telah memberi pelbagai inspirasi untuk beliau membangunkan Sarawak ke arah negeri yang lebih maju pada tahun 2030.

“Saya bernasib baik kerana saya bermula lebih awal sebagai menteri muda ketika pimpinan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan sudah tentu berkhidmat untuk Perdana Menteri Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai ahli kabinet negeri,”

Jelasnya, beliau telah dilantik sebagai menteri penuh pada tahun 1987 sebagai Menteri Pembangunan Industri dimana pada ketika itu ia adalah langkah pertama kerajaan mengenalpasti dasar ekonomi negeri.

“Pada ketika itu, ekonomi kita hanya bergantung kepada pertanian dan saya diberi tugas untuk menarik pelabur dengan memulakan perindustrian di Samajaya, Sejingkat, Tanjung Manis dan sebagainya.”

Untuk rekod, Abang Johari turut pernah menjawat jawatan Menteri Pelancongan pada tahun 2000 dan Menteri Perumahan pada tahun 2006

Ujarnya lagi, dengan pengalaman tersebut beliau percaya pembangunan di Sarawak akan terus berjalan dengan baik demi kepentingan rakyat bersama.

Beliau berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama media di Wisma Bapa Malaysia pada minggu lepas sempena ulang tahunnya yang ke-3 sebagai Ketua Menteri.

Dalam pada itu bercakap mengenai halangan sepanjang beliau berkhidmat, beliau berkata halangan yang ada tidak mematahkan semangat beliau membangunkan Sarawak mengikut acuan tersendiri.

“Sudah tentu ada cabaran yang tertentu namun walau apapun risiko anda harus hadapi dengan betul. Saya telah merasai cabaran pertama pada 1987 dimana parti kita telah berpecah kepada dua kerana masalah pemimpin,”

“Satu perkara adalah anda mesti percaya diri dan niat mestilah betul. Masalah terjadi bila anda terlalu obses untuk mendapatkan sesuatu sehinggga tidak dapat mengawal diri sendiri,”

Sementara itu tambahnya, sokongan daripada rakyat terutama penjawat awam dalam membangunkan negeri ini juga adalah antara salah satu impak yang besar kepada beliau.

“Ini kerana mereka adalah pelaksana. Mereka memahami dasar atau polisi kerajaan,” katanya.