SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu rakyat Sarawak terus bersatu padu dan saling menjaga antara satu sama lain dalam usaha menjaga keharmonian negeri ini.

Beliau berbangga kerana rakyat di Sarawak terus menjaga pesanan bekas Ketua Menteri iaitu Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan menyifatkan keharmonian negeri ini seperti ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa.’

Ujarnya lagi beliau bersama dengan rakan-rakan di peringkat kerajaan akan terus berusaha dan bekerja keras demi menjaga kepentingan rakyat.

“Kalau negeri kita aman, kita akan dapat melaksanakan pesan Tok Nan, jaga Sarawak baik-baik, Jaga Sarawak Intu Sarawak. Kita haruslah bersatu, kita (diibaratkan) picit kanan, kiri sakit. Picit kiri kanan sakit.

“Saya yang berdiri dihadapan sini bersama rakan-rakan saya akan berbakti dengan baik untuk negeri kita. Memanglah ada sikit-sikit (permasalahan) tapi yang penting negeri kita betul.” katanya ketika berucap di program Sarawakku Sayang di sini pagi tadi.

Dalam pada itu beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang telah menyokong sepanjang 3 tahun beliau memimpin sebagai ketua dalam Kerajaan Sarawak.

Tambahnya meskipun tidak sehaluan dengan kerajaan pusat, namun pihak kerajaan pusat masih memerlukan pertolongan dari Sarawak untuk terus menyumbang dalam sektor pertanian.

“Sebab itulah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak kerana sepanjang 3 tahun kami mentadbir kerajaan ini, kita dalam keadaan yang baik.

“Walaupun kita tidak same page dengan Putrajaya, Putrajaya pun minta sokongan kita dalam industri pertanian. Kita jaga kita sendiri dan sebab itulah kita pertahankan hak imigresen kita.” ujarnya.