LIMBANG: Walaupun ditangguhkan tarikh penganjurannya disebabkan kekangan masa dan persiapan menghadapi banjir, tetapi penyertaannya sangat menggalakkan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail mengucapkan tahniah kepada MAKSAK di atas penganjuran program untuk penjawat awam negeri dan persekutuan terutamanya dalam aktiviti sukan.

“Kerajaan memang mengalakkan rakyat untuk bersukan kerana ia mempunyai banyak faedah antaranya yang pertama untuk kesihatan diri sendiri.

“Kedua, untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara satu dengan yang lain dan yang ketiga boleh dijadikan kerjaya jika berbakat dalam sesuatu sukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perasmian Kejohanan Badminton MAKSAK Berpasukan Bahagian Limbang 2019 anjuran MAKSAK Bahagian Limbang, Pejabat Residen dan Daerah Limbang (Kelab JARESDA) di Stadium Tertutup Limbang pada Sabtu.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini telah disertai oleh 20 pasukan yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di Bahagian Limbang.

Dalam majlis itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM25,000 untuk MAKSAK Bahagian Limbang bagi menganjurkan aktiviti mereka pada tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berasa bangga setiap jabatan dan agensi kerajaan di Bahagian Limbang kerana sentiasa berusaha untuk memastikan Limbang tidak ketinggalan dalam apa-apa jua program dan aktiviti yang diadakan pada peringkat daerah, bahagian mahupun di peringkat negeri.

“Tahun 2019 merupakan tahun yang cukup bermakna kepada bahagian Limbang terutamanya kepada Pejabat Residen di atas kejayaan-kejayaan yang dicapai pada tahun lepas seperti kemenangan pada KIK dan Pengurusan Pejabat Residen Terbaik di seluruh negeri Sarawak,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 18 program telah dirancang oleh Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang untuk tahun 2020 yang melibatkan peruntukan keseluruhan hampir setengah juta.