Selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia membawa kepada kepada pilihan raya kecil.

Sebelum itu, Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu mengekalkan keputusan  yang dibuat pada 16 Ogos tahun lepas yang memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal. Ia berlaku selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Kawasan parlimen Kimanis  merupakan kawasan pertarungan  yang hebat pada PRU 2018. Anifah Aman memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi sahaja, itu pun selepas perkiraan beberapa kali.

Calon Warisan, iaitu Karim Bujang memperoleh 11,786 undi berbanding Anifah yang mendapat 11, 942 undi manakala  Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula mendapat 1,300 undi.

Landskap Berbeza

PRK Kimanis ini merupakan PRK ke-10 dan kedua bagi Sabah selepas PRK di Sandakan yang memberikan kepada Pakatan Harapan.  Dalam konteks PRK Sandakan kemenangan besar diperoleh DAP sesuai dengan populasi pengundi Cina yang mewakili 51 peratus pengundi Cina manakala 45 peratus  merupakan pengundi Bumiputera Islam dan selebihnya kaum lain.

Pengundi di Kimanis pula  mempunyai 29, 664 pengundi dan sebanyak 52 peratus ialah bumiputera Islam  yang kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu Brunei. Bumiputera bukan Islam pula mewakili 41 peratus yang kebanyakannya ialah Kadazan Dusun manakala etnik Cina kurang signifikan yang mewakili  6 peratus sahaja dan selebihnya etnik-etnik lain.

Lanskap politik berbeza kerana Sabah sebelum PRU ke-14 dikuasai oleh UMNO dan Barisan Nasional.  Keluarga Musa Aman dilihat sangat berpengaruh dan menguasai politik di negeri Sabah. Di Putrajaya pula, Barisan Nasional menguasai  Putrajaya. Namun semua ini berubah apabila Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya dan parti Warisan mengambil alih kerajaan Negeri Sabah dengan penuh drama politik.

Isu  Kimanis

Politik di Sabah hampir sama seperti di Sarawak, iaitu isu pembangunan yang sering dipolitikkan oleh wakil rakyat. Meskipun jarak parlimen Kimanis  ke Kota Kinabalu tidak terlalu jauh, iaitu sekitar 70 km atau sekitar 1 jam setengah, isu pembangunan menjadi isu utama. Kebanyakan penduduk terdiri daripada masyarakat menengah rendah dan kelas pekerja.

Parlimen  Kimanis yang diwakili oleh dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Membakut dan Bongawan yang merupakan kawasan  pertanian yang tenang dan senyap. Beberapa bangunan kayu digantikan dengan bangunan kedai batu moden. Masih lagi menjadi satu masalah rakyat apabila kesukaran akses  mesin ATM dan ini memancarkan suasana perdagangan moden masih lagi perlahan. Golongan makcik terlibat dalam perniagaan industri desa dan tani manakala ramai golongan muda berhijrah ke Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia untuk bekerja.

Sebab itu, jumlah pengundi  kalangan golongan anak muda di kedua-dua Dun ini sangat kecil, iaitu 11 peratus di Bongawan manakala 13 peratus di  Membakut atau 24 peratus pengundi muda dilihat kurang mampu menggugat dengan jumlah yang kurang dominan. Isu peluang pekerjaan yang kurang di parlimen Kimanis, isu bayaran pinjaman PTPTN dan gaji minimum  sewajarnya diangkat anak muda di Parlimen Kimanis sekiranya mahu impak PRK Tanjung Piai turut melanda dalam PRK Kimanis.

Isu pembangunan  seperti kemudahan infrastruktur seperti jalan tar, lampu jalan, masalah saliran dan banjir masih lagi menjadi isu asas bagi masyarakat Kimanis.  Isu semasa seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan amat dirasai oleh penduduk Kimanis.Begitu isu perumahan mampu milik yang kurang dan malah masyarakat Kimanis masih lagi mengharapkan BRIM atau Bantuan Sara Hidup dalam suasana tahap ekonomi mereka kurang membangun.

Isu PSS

Isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijangka berkuat kuasa pada Jun 1 menjadi isu panas dalam PRK Kimanis. PSS dicadangkan  dalam zaman BN oleh pemimpin BN dan diteruskan oleh pentadbiran kerajaan negeri Sabah pimpinan Mohd Shafie Apdal. Namun BN mendakwa PSS cuba menjadikan warga asing sebagai warga Sabah.

PSS ialah dokumen baru yang menggantikan tiga dokumen yang sedia ada, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.  PSS dikeluarkan oleh pihak imigresen dengan ciri keselamatan yang lebih baik dengan ciri keselamtan biometrik, cap jari dan foto pemegang yang tidak ada  pada ketiga-tiga dokumen tersebut.

Penggunaan PSS tidak menjadi asas pemberian taraf kerakyatan, pemastautin tetap, permit masuk atau taraf pemastautin sementara sebagaimana ditegaskan oleh Kementeria Dalam Negeri.

Namun bagi parti pembangkang yang khususnya  berasaskan Kadazandusun Murut di Sabah, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (Anak Negeri) memprotes pelaksanaan PSS kerana mendakwa PSS tidak selaras dengan kehendak Akta Imigresen bahawa orang asing mesti mengemukakan pasport apabila memasuki Malaysia. Inilah dijadikan senjata politik bagi menentang kempen parti Warisan  dan Shafie Apdal hampir setiap hari turun berkempen menangkis isu-isu sebegini di Kimanis. Ini menunjukkan seriusnya isu PSS ini.

Janji Manifesto

Pakatan Harapan berdepan dengan  janji manifesto yang belum ditunaikan.  Pengembalian hak Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilihat prosesnya sangat perlahan dilaksanakan sepenuhnya. Ini dilihat sebagai ketaksamaan layanan kepada negeri di Malaysia timur.  Penambahan royalti minyak 20 peratus dilihat hampir mustahil ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Begitu juga manifesto memastikan ekonomi Sabah berkembang lebih pesat, mencipta peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak Sabah, membela nasib penduduk luar bandar dan pedalaman yang dilihat tidak lebih sebagai retorik politik bagi pengundi yang celik politik.  Namun kesedaran ini hanya akan berlaku sekiranya literasi politik pengundi di kawasan parlimen Kimanis. Kekurangan golongan kelas menengah ialah antara hambatan untuk membawa kesedaran hak dan nilai demokrasi dalam pilihan raya. Hal ini merupakan antara faktor menyebabkan proses perubahan untuk memilih calon wakil rakyat yang mampu membawa gerakan pembaharuan dan pembangunan menjadi perlahan.

Ramai pengundi masih lagi terpesona dengan janji-janji pilihan raya meskipun janji-janji lama masih banyak belum lagi ditunaikan.  Dalam PRK Kimanis ini, pengundi hanya mempunyai 2 pilihan sama ada BN atau Warisan. Pertandingan dua penjuru ini menunjukkan Muafakat Sabah sudah terpancar dan kesemua parti pembangkang di Sabah bersatu hati dengan matlamat bersama untuk mengalahkan calon parti Warisan dan mesra PH.

Ramai juga yang skeptis bahawa sekiranya BN menang sekali pun, Parti Warisan tetap merupakan kerajaan Negeri Sabah dan Putrajaya tetap milik Pakatan Harapan. Namun PRK ini penting sebagai memorandum kecil terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan bahawa PH perlu lebih berkerja lebih kuat untuk memberikan kesejahteraan hidup yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

Kepimpinan Warisan

Sudah pasti PRK ini akan menilai populariti kepimpinan dan imej Shafei Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah selama 20 bulan. Ia juga menilai penerimaan parti Warisan oleh pengundi Kimanis.   Ada yang melihat pertandingan ini sebagai proksi perlawanan legasi kuasa Musa Aman dengan Shafie Apdal yang merupakan dua tokoh berpersonaliti tinggi dan sering sukar dilihat untuk bersama.

Dari segi populariti Shafei Apdal lebih popular di kawasan pantai timur Sabah. Politik di pantai timur amat menyanjungi Shafie Apdal sebagai pemimpin utama etnik Bajau Sabah. Namun dalam konteks politik di kawasan pantai barat Sabah, populariti Shafie tidak setinggi seperti di Semporna. Politik Kadazan dusun lebih menonjol di pantai barat dan di Kimanis politik Melayu Brunei lebih dominan manakala Bajau kurang menonjol di kawasan ini.

Sudah pasti Musa Aman akan memastikan tidak mahu kalah dalam perang proksi melalui PRK ini dan berhabis-habisan memastikan calon Warisan tewas. Di satu pihak lagi, Shafie mempunyai kelebihan, iaitu parti Warisan kini sebagai kerajaan mempunyai mekanisme jentera yang lebih ampuh, dibantu teguh oleh PKR, DAP dan Bersatu. Parti Warisan menonjolkan imej parti sebagai parti tempatan yang lebih mengetahui sentimen setempat.  Dari segi kewangan mana-mana sanggup berbelanja lebih besar akan dilihat mampu menguasai naratif kuasa di negeri Sabah.

Maka, sesiapa pun yang akan menang dalam PRK ini adalah pihak yang berjaya menangani isu berbangkit, mencipta isu lebih besar, memanfaatkan gerak mesra calon dalam menyantuni pengundi dalam kempen yang berbaki, dan memanfaatkan jentera kempen bagi mendapat impak yang lebih tinggi dalam meraih undi.  Walaupun ketika ini, dilihat BN lebih sedikit ke hadapan, namun tidak mustahil Warisan akan memotong dengan kempen besar-besaran sekiranya cepat disedari.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.