SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak tidak akan menaikkan tarif elektrik dan air di negeri ini untuk mengelak daripada membebankan rakyat.

Menegaskan demikian dalam satu majlis di sini pada Jumaat, Ketua Menteri Sarawak berkata, kerajaan sebaliknya membantu meringankan rakyat dengan membayar sepenuhnya penyambungan elektrik ke rumah dengan subsidi RM5,000 bagi setiap rumah.

“Bagi kos penyambungan yang mencecah RM10,000 pula, Kerajaan Sarawak akan menanggung 70 peratus daripada bayaran yang dikenakan,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Dan hanya 30 peratus ditanggung oleh pemilik rumah,” jelasnya.

Katanya, bekalan air bersih dan elektrik harus ada di setiap rumah di negeri ini.

“Kita mempunyai pengurusan kewangan yang baik, malah diberi penarafan A- oleh agensi penarafan antarabangsa S&P Global Ratings,” jelasnya.

“Ia sekali gus menepis dakwaan bahawa Sarawak akan muflis dalam tiga tahun,” katanya merujuk kepada kenyataan tidak berasas menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.