KUCHING: Kesedaran isu seksual bukan sahaja perlu dipertingkatkan dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga penting untuk orang dewasa, jelas mantan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Unimas Dr Hew Cheng Sim.

Menurutnya, kesedaran penderaan seksual penting untuk mendidik orang dewasa mengenai keperluan menukar sikap kurang percaya apabila anak bercakap tentang penderaan yang mereka hadapi.

“Orang dewasa perlu diajar untuk mempercayai dan perlu mendengar jika anak-anak memberitahu ada orang dewasa menyentuh di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya semalam.

Beliau memuji tindakan progresif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang meneruskan rancangan strategik untuk menghasilkan video tentang kesedaran seksual kanak-kanak melalui dalam talian.

“Ia boleh dipuji kerana sangat penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanakkanak berhubung isu ini,” ujarnya. Menekankan keperluan untuk berkomunikasi dengan berkesan dalam menangani isu itu, Hew mencadangkan bahawa perbincangan perlu diadakan manakala video berkenaan perlu ditunjukkan di dalam bilik darjah.

“Video itu mesti dapat menyampaikan mesej dengan berkesan melalui pelbagai platform media. “Kerana tidak semua orang tahu kewujudan video tersebut di YouTube,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) Margaret Bedus berkata, latihan untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan sosial dapat dipupuk melalui program kemasyarakatan dan Program Keselamatan Diri Kanak-kanak.

“Sejak beberapa tahun lalu, SWWS telah menyertai program usahasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dengan mengadakan bengkel bagi guru dalam menangani penderaan seksual kanak-kanak,” tambahnya.

Margaret menambah, bekerja dengan kumpulan antara agama berjaya menangani isu tersebut. “Kami berharap usaha sedemikian dapat diperluaskan kepada semua sekolah rendah dan penggunaannya dipantau agar semua orang lebih sedar akan isu ini,” tambahnya.

Pada 7 Januari lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menghasilkan video tentang kesedaran seksual untuk kanak-kanak melalui dalam talian.

Bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan, inisiatif ini akan membolehkan mereka menangani isu ini, terutamanya belia dengan mendedahkan tentang cara meminta bantuan sekiranya menjadi mangsa.