SIMUNJAN: Kemajuan dan pertumbuhan pelbagai sektor di negeri ini terus dimantapkan dengan penggunaan teknologi berteraskan ekonomi digital.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bidang pertanian antaranya tidak ketinggalan daripada menggunakan inovasi teknologi moden bagi meningkatkan pengeluaran dan daya saing.

Menurutnya, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada November tahun lepas, Kerajaan Negeri telah menyediakan dana yang besar dalam memacu bidang pertanian dan sektor lain.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga minta Sarawak mengeluarkan lebih banyak barang makanan serta membantu dari segi pengeluaran makanan kerana negeri ini mempunyai keadaan iklim iaitu keadaan cuaca yang baik.

“Justeru, mulai hari ini kita mesti berani dan mengubah cara lama kepada penggunaan teknologi yang moden dan canggih,” katanya semasa merasmikan Program Rindok Digital @ Simunjan di Perkarangan Dewan Mesra Simunjan, pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Menteri menyeru golongan petani dan pekebun kecil di Simunjan untuk mempelbagaikan tanaman bagi menyahut usaha Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan menjelang 2030.

Jelasnya, usaha tersebut juga selaras dengan seruan kerajaan negeri untuk menggalakkan lebih ramai usahawan dan belia menerokai sektor pengeluaran makanan bersama dengan rantaian pembekal.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong pekebun kecil kelapa sawit dan lada dengan peruntukan RM10 juta di bawah inisiatif Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF) dan Bantuan Musim tengkujuh untuk pekebun getah sebanyak RM4.2 juta di bawah AFF.

“Saya percaya peruntukan dan bantuan ini akan meringankan beban golongan petani, pekebun dan nelayan di negeri ini,” katanya.