Rabu lepas, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa GPS bakal mengetengahkan beberapa muka baharu bagi mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 yang paling lewat diadakan pada suku ketiga tahun 2021. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri ini jelas memberi bayangan bahawa akan ada beberapa orang penyandang kerusi DUN sekarang bakal digugurkan menjelang PRN 12 nanti. Beliau turut menegaskan bahawa beliau sendiri kini sedang memantau prestasi kesemua ADUN yang mewakili GPS.

GPS yang terdiri daripada empat komponen parti tempatan iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP sudah pasti ingin mempertahankan status qou sebagai parti pemerintah bumi kenyalang selepas PRN 12 nanti. Sebagai sebuah entiti politik tempatan, GPS yang buat pertama kali akan tampil dengan imej serta logo baharu parti dalam PRN 12 bakal menghadapi cabaran yang sengit dalam menempuh PRN 12. Persoalan yang perlu difikirkan oleh GPS ialah, adakah rakyat Sarawak terutama di kawasan luar bandar sudah betul-betul mengenali logo GPS yang bakal tertera di kertas undi?

Ini kerana penduduk di kawasan luar bandar yang selama ini merupakan pendukung kepada BN sudah lali dengan logo BN yang menjadi pilihan majoriti penduduk di luar bandar setiap kali pilihan raya sebelum ini. Adakah ini bakal memberi implikasi kepada GPS? Ya, sedikit sebanyak ia bakal memberi kesan kepada GPS yang menggunakan logo baharu gabungan tersebut pada PRN 12 nanti. Perkara ini perlu difikirkan oleh GPS dengan sebaik-baiknya.

Pengenalan muka baharu dalam barisan pejuang yang bakal bertarung mewakili GPS pada PRN 12 nanti amat-amat dialukan oleh rakyat Sarawak terutama dalam kalangan golongan muda. Wakil rakyat yang telah lama berkhidmat dan tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang perlu mengundur diri secara terhormat untuk memberi laluan kepada para pemimpin muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Ini penting untuk memastikan parti-parti politik tidak ketandusan pemimpin untuk memimpin parti sekaligus negeri. Pemimpin pelapis harus diketengahkan oleh mana-mana parti politik dalam pentas PRN 12 nanti.

Dalam pada itu, sebagai Ketua Menteri yang juga peneraju GPS, Abang Johari sudah pasti ingin mendapatkan mandat beliau sendiri sebagai seorang pemimpin semasa PRN 12 nanti. PRN 12 merupakan pentas pertama Abang Johari mengetuai satu entiti politik untuk mendapatkan mandat bagi meneruskan kepimpinan beliau meneraju negeri Sarawak. Beliau yang dilihat sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh telah melakukan pelbagai inisiatif melalui perencanaan dasar serta perlaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Beliau yang menegaskan akan mengemukakan beberapa muka baharu pada PRN 12 nanti dilihat sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dalam memastikan kelestarian kepimpinan parti. Muka baharu yang bakal diketengahkan oleh GPS harus merangkumi golongan muda yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin. Ini penting untuk memberi pendedahan serta pengalaman dengan bimbingan para pemimpin veteran dalam mengemudi parti serta kepimpinan negeri pada masa hadapan.

Hakikat adalah, mana-mana parti politik harus mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk mengetengahkan golongan muda dalam meneruskan kelestarian parti semasa menempuh pilihan raya. Merekrut para pemimpin pelapis amat penting dalam mana-mana organisasi sama ada organisasi politik dan sebagainya untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan dalam organisasi. Bak kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti. Sungguhpun yang tumbuh dan mengganti tidak sama, tetapi kesinambungan kepimpinan itu tetap ada demi kelestarian parti.

Kini, persoalan yang berlegar dalam benak fikiran rakyat adalah, siapakah penyandang kerusi DUN sedia ada yang bakal berundur atau digugurkan menjelang PRN 12 nanti? Siapakah muka baharu yang bakal diketengahkan oleh GPS? Amat molek sekiranya GPS membuat pengumuman awal untuk bakal-bakal muka baharu yang ingin diketengahkan agar rakyat dapat menilai awal muka baharu tersebut. Apa yang lebih penting, adakah rakyat di kawasan tersebut menerima muka baharu yang diketengahkan? Secara tidak langsung dengan pengumuman awal muka baharu ini ia dapat memberi masa serta ruang kepada parti-parti politik untuk merencana strategi yang seterusnya.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.