TAWAU: Mayat seorang lelaki ditemui tanpa kaki dan tangan kanan di anak Sungai Kalumpang Tawau pada Khamis akibat serangan buaya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Sri Indah Tawau menemui mayat tersebut pada pukul 10.20 pagi dalam satu operasi mencari dan menyelamat.

Ia berikutan aduan kehilangan seorang pekerja syarikat Semporna Estate Sendirian Berhad, Sungai Mas Teck Guan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas dipetik Astro Awani berkata operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan kekuatan empat anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tawau bersama seorang pegawai dan tiga anggota PDRM dari Balai Polis Sri Indah Tawau.

Terdahulu mangsa, Binyu Jenul berumur 36 tahun dikatakan turun ke tepi Sungai Sipadan Mangrove Resort untuk mencari umpan bagi tujuan memancing pada jam 3.20 petang pada Rabu.

Saksi, Basir Pungutan Adjihil yang melihat kejadian tersebut berkata mangsa telah dibaham buaya ketika sedang mencari umpan di tepi sungai berkenaan dan kemudian hilang.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.