Kad Pengenalan: Pantas beri bantuan kepada yang ditimpa bencana di Sarawak

0
5

SRI AMAN: Tidak kira apa bencana sama ada kebakaran atau banjir, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklumat dan tindakan segera memberi bantuan dengan memberi pengecualian bayaran menggantikan kad pengenalan musnah dan sebagainya.

Ketua Operasi Rapid Respond Team Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak Sulaiman Mentali, berkata program bantuan JPN ini adalah untuk menangani permasalahan berkaitan dokumen pengenalan diri penduduk terutama di kawasan pedalaman.

“Ini merupakan program titik sentuhan dalam membantu mangsa banjir atau kebakaran, membuat gantian di rumah panjang merangkumi 11 sijil kelahiran beserta tiga dokumen pengenalan,” katanya.

JPN memberi keutamaan kepada mangsa kebakaran dan bencana  lain membuat gantian bagi dokumen yang musnah seterusnya dokumen baharu akan dikeluarkan semula.

“Kami bergerak melalui unit khas bergerak, program berterusan dan melakukan program secara berjadual dan kami mengambil berat perkara ini bagi memastikan setiap penduduk mempunyai hak dan cukup syarat tidak diabaikan hak-haknya,” katanya lagi.

Sulaiman turut menasihati penduduk di pedalaman, Sarawak agar berhati-hati menerima bantuan daripada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mengurus pengeluaran dokumen pengenalan.

“JPN Sarawak tidak melantik mana-mana ejen menguruskan dokumen pengenalan diri, sekiranya ada kes kebakaran mangsa boleh terus menghubungi JPN Sarawak dan jangan guna orang tengah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Daniel Lawi yang ditemui menyatakan terima kasihnya kepada Jabatan Pendaftaran Negara, agensi agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang membantu memudahkan urusan mereka yang ditimpa musibah.

“Ia langkah murni dan amat baik membantu kami di kawasan pedalaman dan berharap kerjasama ini terus dilakukan secara berterusan,” katanya.